Anwar Terkejut Tindakan JK Hak Dan Keistimewaan Dengar Keterangan Nazri, Apco

KUALA LUMPUR 9 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkejut dengan tindakan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan yang memanggil Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan wakil syarikat Apco Worldwide memberi keterangan tanpa pengetahuan beliau.

Jawatankuasa itu memanggil kedua-dua individu tersebut pukul 11.20 pagi tadi menyebabkan Anwar bersama peguamnya, Datuk Ambiga Sreenevasan bergegas ke bilik mesyuarat dimana jawatankuasa bersidang tetapi tidak dibenarkan masuk dengan alasan beliau tidak dipanggil hadir untuk sesi keterangan hari ini.

Dalam sidang media di lobi parlimen Anwar memaklumkan beliau hanya mengetahui perkara tersebut pagi tadi.

"Saya dan peguam masuk juga pagi tadi kerana kami tidak diberitahu secara rasmi bahawa semalam keputusan ditukar.

"Semalam keputusan jawatan kuasa membenarkan saya diwakili peguam yang belum diputuskan sama ada peguam boleh kemuka soal balas atau tidak, tetapi jawatan kuasa membenarkan tetapi selepas saya meninggalkan mesyuarat, keputusan itu ditukar, peguam tidak dibenarkan.

"Mesyuarat kemudiannya meminta saya meninggalkan majlis dan memaklumkan saya akan diberikan tarikh baru.

"Saya ingat jawatankuasa akan bersidang kemudian tetapi pagi ini, Nazri bersama wakil Apco dipanggil untuk memberikan keterangan," ujarnya

Menurut Anwar sebagai pihak yang dituduh beliau diberitahu jawatankuasa bahawa beliau tidak perlu hadir kerana apa yang dikemukakan adalah siasatan biasa.

"Dalam kes ini, tuduhan itu melibatkan hukuman pengantungan daripada parlimen maka hak saya sebagai yang dituduh untuk dengar apa yang dikatakan oleh pendakwaan Nazri dan keterangan Apco," tegas Anwar.

Tambahnya, fail dokumen dan perjanjian tersebut ada pada beliau dan sepatutnya jawatankuasa memanggil beliau untuk memberikan maklumat itu.

Kata Anwar lagi , beliau telah berulangkali memohon kepada jawatankuasa untuk diberi peluang bagi mengemukakan permohonan semula mengapa kehadiran peguam itu perlu dan juga keperluan beliau dan peguam untuk hadir mendengar pandangan Nazri dan wakil Apco.

Setakat ini, pengerusi jawatankuasa, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau akan pertimbangkan permohonan itu.

Nazri pula ketika diketika ditemui media pukul 1.00 tengahari tadi pula berkata beliau dan wakil Apco masih belum dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pengerusi jawatan kuasa memberitahunya beliau dan wakil Apco itu akan dipanggil bila-bila masa tanpa menetapkan tarikh tersebut.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.