Jui Meng Kembalikan Kesemua Tiga Pingat Ke Istana Johor

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin MCA, Datuk Chua Jui Meng berkata beliau akan mengembalikan bukan sahaja dua tetapi kesemua tiga darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya kepada Istana Johor.

Chua berkata selain darjah kebesaran Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), yang kedua-duanya membawa gelaran "Datuk", beliau turut menerima Pingat Ibrahim Sultan (PIS) oleh Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail ketika beliau berkhidmat dengan kerajaan.

Bekas menteri kesihatan yang kini merupakan anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat itu berkata beliau tidak tergesa-gesa untuk memulangkan pingat berkenaan tetapi akan melakukannya "dalam masa terdekat" ini.

Chua berkata beliau dimaklumkan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abd Rahim Ramli mengenai penarikan balik darjah kebesaran itu menerusi telefon pada 8 dan 10 Jun manakala surat rasmi mengenainya dikirimkan kepadanya pada 15 Jun.

"Saya ada mengingatkan beliau (Abdul Rahim) semasa perbualan telefon bahawa saya juga dianugerahkan PIS dan bertanya adakah beliau turut mahukan pingat itu juga. Beliau berkata ya. Saya akan menyerahkan kesemua tiga pingat berkenaan kepada Istana (Johor) dalam masa terdekat ini," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Meskipun tiada alasan mengapa darjah kebesaran itu ditarik balik, Chua berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan dan prerogatif Sultan Johor.

Chua, bagaimanapun masih bergelar "Datuk", gelaran yang diterima bersama anugerah darjah kebesaran kurniaan Sultan Pahang.

Selain Chua, tiga lagi individu turut ditarik balik anugerah darjah kebesaran mereka dari Istana Johor iaitu pengembara Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, adik ipar Sultan Johor, Kommander Shaftdean Lufty Rushdan dan peguam Hassan Yunos. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.