MAS wajar jadi benteng pertahan hartanah Kampung Baru

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (gambar) berkata, adalah sangat wajar Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru menjadi benteng mempertahankan pemilikan hartanah dan hak pemilik serta pewaris di situ.

Beliau menyatakan demikian berikutan akhirnya MAS berani bersuara yang menafikan mereka bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kawasan tersebut itu sebagaimana diiumumkan oleh menteri berkenaan.

Katanya, MAS selaku Lembaga Pentadbir diwujudkan seawal kewujudan Kampung Baru sejak 110 tahun lalu selayaknya pandangan mereka didengari dan dilibatkan secara aktif kerana mereka yang sangat arif dan maklum tentang situasi di situ.

Beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menambah, anggota-anggota MAS antaranya terdiri daripada ketua-ketua daripada tujuh buah kampung dalam Kampung Baru sendiri.

Justeru, katanya badan itulah yang mewakili Kampung Baru dan bukannya 50 orang yang pilih oleh Menteri Wilayah Persekutuan dalam perbincangan yang diadakan pada hari Isnin, 14 Jun yang lalu.

“Syabas MAS. Menteri Wilayah Persekutuan boleh datang dan pergi, Datuk Bandar, KSU, TKSU dan yang lain-lain boleh datang dan pergi tapi MAS akan terus dianggotai oleh anak Kampung Baru,” ujarnya lagi.

Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, yang selama ini hanya berdiam diri, pada 16 Jun lalu menafikan mereka bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kawasan tersebut itu sebagaimana diiumumkan oleh menteri.

“Kita diam selama ini tidak bermaksud bersetuju dengan segala laporan yang dibuat,” kata Pemangku Naib Pengerusi MAS, Mashuti Mat Soom sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insider.

“Tetapi selepas menerima banyak persoalan dalam perkara ini daripada penduduk kami berpendapat adalah lebih baik menyatakan pendirian dalam hal ini.

“Kita bukan mahu menyanggah pendapat yang dikeluarkan menteri tetapi ini adalah tanggungjawab kami yang selama ini mentadbir Kampung Baru selama 110 tahun,” kata beliau pada sidang media.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mengatakan pemilik dan pewaris tanah bersetuju dengan cadangan pembangunan kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

No comments

Powered by Blogger.