Tian Chua tak mahu merayu, AG belum pasti

Oleh Debra Chong dan Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengarah Strategi Pilihan Raya PKR, Tian Chua tidak akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman denda yang telah dikurangkan RM1,000, tetapi masih dilihat berhadapan dengan risiko hilang kerusi Parlimen Batu.

“Saya tidak akan membuat rayuan,” kata wakil rakyat Batu itu dengan tegas ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

“Tiada apa yang perlu dibincangkan. Saya sangat jelas tentang apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku dan tiada apa-apa masalah,” kata beliau lagi.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu bersusah payah, saya tidak akan membuat rayuan, timbalan pendakwa raya tidak akan merayu ... jadi tiada isu di sini,” kata beliau mengulas statusnya sebagai anggota Dewan Rakyat.

Meskipun Tian Chua menganggap kerusinya “selamat”, komponen Pakatan Rakyat berpandangan sebaliknya.

Pengerusi DAP Karpal Singh memberitahu The Malaysian Insider bahawa undang-undang adalah jelas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengenakan denda ke atas wakil rakyat, kurang RM1,000 berbanding hukuman sebelum ini.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata kerusi wakil rakyat Batu itu secara automatik menjadi kosong ekoran keputusan Mahkamah Tinggi semalam, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

“Jika denda RM2,000 (beliau) habis. Kerusi menjadi kosong. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengatakan bahawa RM2,000 atau lebih, anda sudah hilang kelayakan.

“Tiada hujah lagi dalam soal ini,” kata Karpal.

Dengan merujuk kepada Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Ting pada 1975 sebagai kes rujukan, Karpal memberitahu Speaker Dewan Rakyat telah mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas beliau didenda RM2,000 ekoran kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Karpal memberitahu, undang-undang itu telah dipinda selepas kes Fan yang membolehken kelucutan secara automatik apabila seseorang Ahli Parlimen didapati bersalah tanpa perlu melalui Dewan Rakyat.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga menyokong pendirian Karpal itu.

SPR merupakan badan betul untuk memutuskan kekosongan kerusi itu, kata Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan kepada The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Kamaludin Md. Said berkata, Tian Chua masih mempunyai masa untuk membuat rayuan dalam tempoh 14 hari.

“Setakat ini tidak ada lagi, yang lain saya tidak mahu komen.

“Ini kerana laporan penuh mengenai kes ini masih belum siap lagi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tian Chua, 47, atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang didakwa mencederakan konstabel Mohd Rosyaidi Anuar, 22, ketika anggota polis itu sedang menjalankan tugasnya dalam satu perhimpunan di Parlimen, 11 Dis 2007.

No comments

Powered by Blogger.