Seorang sembelih 1,000 ekor ayam
ANGGOTA penguat kuasa JAIS dan MPS membuat pemeriksaan pengesahan sembelihan ayam di sekitar Pasar Tani Selayang, Selayang semalam.
SELAYANG - Hanya seorang tukang sembelih ditugaskan untuk menyembelih sebanyak 1,000 ekor ayam dalam tempoh sehari.
Fakta ini mungkin boleh mengundang rasa takjub namun hakikatnya apabila dinilai daripada sudut hukum syarak, ia boleh menimbulkan keraguan khususnya melibatkan kualiti penyembelihan yang mungkin menyebabkan ayam disembelih dikira bangkai.
Itulah hasil penemuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pemeriksaan terhadap lima buah premis pusat penyembelihan berdekatan Pasar Borong Selayang di sini awal pagi kelmarin.
Dalam operasi yang disertai oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada pukul 1 pagi itu, JAIS bertindak menggantung tauliah seorang penyembelih yang bertugas di salah sebuah daripada lima premis itu ekoran timbul keraguan terhadap kualiti penyembelihan.
Penolong Pengarah Unit Halal, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, Ahmad Solihin Maryakon berkata, sesebuah premis wajib menyediakan sekurang-kurangnya tiga orang penyembelih yang bertauliah untuk menjalankan kerja-kerja penyembelihan.
Katanya, langkah itu bagi menjamin kualiti penyembelihan yang konsisten termasuk faktor ayam yang disembelih mati berpunca daripada sembelihan yang dibuat.
No comments
Post a Comment