Gesa adakan PRK, speaker maklum SPR kerusi Pelabuhan Klang kosong

SHAH ALAM, 21 Jan – Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Teng Chang Kim, hari ini mengumumkan, telah menghantar notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung kekosongan kerusi Dun Perlabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham Abdullah.

Dalam sidang medianya, Teng turut membidas kenyataan Badrul Hisham yang mengatakan beliau hadir pada pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 8 November 2010.

Beliau menegaskan, tiada upacara pembukaan pada tarikh berkenaan, sebaliknya pembukaan sesi ketiga sidang DNS ke-12 berlangsung pada 12 April 2010 yang dirasmikan oleh Sultan Selangor.

“Persidangan pada November merupakan persidangan khusus untuk pembentangan bajet, maka tiada upacara pembukaan untuk sesi tersebut,” katanya.

Penyata rasmi dewan dengan jelas merekodkan Badrul Hisham tidak hadir pada 8 hingga 15 November sidang tersebut.

Badrul Hisham sendiri mengakui dalam suratnya, bahawa beliau tidak menghadiri persidangan Dun pada tarikh berkenaan dan surat tersebut telah diterima pejabat speaker pada 10 Disember 2010.

“Saya tidak perlu membidas kenyataan sedemikian sebenarnya, tetapi demi menjaga integriti pejabat speaker dan menjelaskan kepada orang awam supaya tidak keliru dengan kenyataan yang telah dikeluarkan,” katanya.

SPR mempunyai 60 hari bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

Katanya, memandangkan kerusi itu telah diisytiharkan kosong, Badrul Hisham tidak akan dibenarkan menghadiri sidang DNS pada Isnin ini.

“Hanya Adun sahaja dibenarkan masuk dewan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.