Jangan serang saya tanpa teliti niat MPPP, kata Adun Komtar

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Adun Komtar Ng Wei Aik berkata beliau kesal dengan serangan bersistematik terhadap peribadinya dengan pelbagai jenis label tanpa meneliti insiden di Gat Lebuh Macallum, George Town sehingga mendesak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bertindak awal bulan ini.

Ng berkata, kemalangan melibatkan dua kereta pada 2 Januari lalu, yang hampir-hampir mendatangkan maut terhadap pelanggan-pelanggan sebuah restoran nasi kandar, menyebabkan tindakan penguatkuasaan perlu diambil oleh MPPP.

“Tindakan penguatkuasaan diambil MPPP untuk mengelakkan sebarang malapetaka yang lebih serius akan berlaku pada pelanggan-pelanggan restoran serta menjamin kepentingan dan keselamatan awam.

“Tidak wujudnya unsur atau niat jahat untuk tindakan-tindakan tersebut diambil,” kata beliau sambil menambah, sebarang tindakan yang diambil oleh MPPP dengan niat murni atau tujuan yang baik perlu disokong oleh semua pihak.

“Kita tidak ingin tindakan baru diambil selepas sebarang mala petaka yang membawa maut atau menggugat keselamatan nyawa orang awam berlaku," katanya.

Awal minggu ini, Ng, yang didakwa berkata “tutup kedai, balik India” terhadap seorang pengusaha restoran nasi kandar di sini, bersedia untuk meletakkan jawatan jika ada bukti beliau mengeluarkan kenyataan berbaur rasis itu.

Minggu lalu, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) mendesak Ng agar memohon maaf berhubung dakwaan beliau mengeluarkan ungkapan seumpama itu 2 Januari lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Kimma Pulau Pinang, Faruk Raja Mohamed berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada Ng, setiausaha politik kepada Ketua Menteri berbuat demikian dan menarik balik kata-kata unsur perkauman itu.

Laporan media sebelum ini menyebut, Ng mengeluarkan ungkapan itu kepada Syed Kasali Mohamed Aliyar, 42, ketika pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang menjalankan operasi menyita barang-barang kedai.

Ng telah menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menunjukkan rakaman video bagi mempertahankan pendirian beliau.

“Ini jelas satu pembohongan... fitnah dan dakwaan liar yang saya tidak boleh terima,” kata beliau pada sidang media hari ini.

“Jika ada bukti bahawa saya mengatakan kata-kata itu, saya dengan segera akan meletakkan jawatan saya sebagai setiausaha politik,” kata beliau.

Ng juga berkata, beliau akan menghantar surat kepada Kimma meminta mereka memohon maaf dalam seminggu atau berhadapan dengan tindakan susulan.

Dalam kenyataannya hari ini, setiausaha politik Ketua Menteri itu berkata, kerajaan yang bertanggungjawab ada kewajipan untuk menjamin keselamatan nyawa dan harta benda rakyatnya supaya tidak terjejas oleh apa-apa kejadian yang bakal berlaku.

Sehubungan itu kata Ng, sehingga kini tiada apa-apa bukti yang dapat menunjukkan bahawa beliau pernah meluahkan sebarang kenyataan yang berbaur perkauman.

“Semua wartawan yang membuat liputan berita pada malam tersebut juga dapat menjadi saksi saya bahawa tidak pernah saya mengeluarkan kata-kata yang mahukan pemilik atau pekerja-pekerja restoran ‘balik India’.

“Ini merupakan suatu fitnah dan tohmahan yang liar dan jahat terhadap saya. Tindakan saman mahkamah tetap akan diambil terhadap pihak-pihak yang membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap saya,” katanya.

Ng menambah, tindakan-tindakan yang ambil oleh MPPP perlu dilihat dari keseluruhan konteksnya dan tidak harus diberi liputan yang kurang lengkap sehingga memberi suatu tanggapan salah kepada orang awam.

“Pihak media juga berperanan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang dan juga bahayanya meja-meja dan kerusi-kerusi yang diletakkan di atas muka jalan atau kaki lima supaya kemalangan yang berlaku di Gat Lebuh Macallum tidak akan berulang lagi,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.