Ketua juruwang curi RM650,000 duit bank ditahan

Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my

SEREMBAN – Seorang ketua juruwang di sebuah bank di Seremban 2 di sini yang tidak datang berkerja selama seminggu ditahan kelmarin kerana disyaki melesapkan wang bank berkenaan berjumlah RM650,000.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek lelaki yang berusia 30-an itu telah berkhidmat lebih 10 tahun di bank terbabit.

Katanya, suspek dipercayai mencuri wang itu beberapa hari selepas Hari Krismas baru-baru ini dan kehilangan wang itu disedari oleh penyelia bank pada 3 Januari lalu yang kemudian membuat laporan polis.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dikatakan mencuri wang itu sedikit demi sedikit dalam jumlah RM3,000 hingga RM5,000,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, selepas menerima laporan kehilangan wang itu polis pergi ke rumah suspek tetapi dia tiada di rumah.

“Kita telah memaklumkan ahli keluarganya supaya meminta suspek datang ke balai polis pada hari Jumaat (kelmarin).

“Apabila suspek datang ke Balai Polis Seremban 2 pada hari berkenaan, kita telah membuat soal siasat dan kemudian menahannya,” katanya.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai ketua juruwang bertanggungjawab menguruskan lebihan wang tunai daripada juruwang untuk dimasukkan ke dalam simpanan bank secara harian.

Bagaimanapun pihak pengurusan bank itu mendapati wang tersebut tidak dimasukkan ke peti simpanan bank terbabit.

Kata Saiful, suspek ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 10 tahun, sebat dan denda jika disabit kesalahan.

No comments

Powered by Blogger.