Dua wanita Iran ditahan bersama syabu RM1.55j

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


GEORGE TOWN - Taktik licik dua wanita warga Iran yang cuba menyeludup syabu bernilai RM1.55 juta ke negara ini dengan menggunakan dua bagasi pakaian yang telah diubah suai menjerat diri sendiri apabila mereka diberkas polis pada Sabtu lalu.

Kedua-dua wanita yang berusia 21 dan 34 tahun itu ditahan pada pukul 8.10 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini sejurus tiba dari Singapura.

Dua wanita itu disyaki pernah menyeludup dadah ke negara ini pada Disember dan Januari lalu dengan menggunakan modus operandi sama tetapi mereka dapat meloloskan diri.

Namun cubaan mereka pada kali ini tidak berhasil apabila sepasukan polis melihat kedua-duanya dalam keadaan mencurigakan. Mereka kemudian ditahan di LTAPP untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, ketika pemeriksaan, polis menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu yang disorokkan di dalam dua bagasi yang dibawa oleh kedua-dua wanita itu.

"Pemeriksaan mendapati beg pakaian berwarna biru dan hitam itu telah diubah suai dengan meletakkan kertas jenis gentian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kedua-dua bungkusan dadah seberat 6.2 kilogram bernilai RM1.55 juta itu disyaki dibawa dari Dubai untuk dipasarkan di negeri ini," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

No comments

Powered by Blogger.