Anwar lelaki Y? — Awang Selamat

13 MAC — Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terus menjadi perhatian ramai. Pertama, pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memoir beliau yang dilancarkan baru-baru ini.

Rakyat Malaysia tidak harus melepaskan peluang membaca A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir. Panas, menarik dan berani. Pada Awang ia dokumen yang cukup penting untuk dijadikan rujukan.

Antara kandungannya Dr Mahathir mengulangi pendirian bahawa keputusan memecat Anwar pada 1998 adalah tepat. Beliau beri hujah dan paparkan cerita mengapa keputusan itu diambil termasuk salah laku seks bekas timbalannya itu.

Sesungguhnya majoriti rakyat dan pelbagai pihak mengambil keputusan yang tepat untuk tidak menyokong Anwar atas sebab yang sama. Awang sudah lama berpendirian beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri atas faktor integriti dan moral. Puluhan pemimpin dan ribuan ahli PKR yang meninggalkan beliau juga mengambil langkah yang tepat.

Kedua, Anwar sekali lagi menjadi tumpuan dalam kes perbicaraan liwat. Kali ini berkaitan keengganan beliau untuk memberi sampel ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Persoalannya mengapa beliau enggan berbuat demikian? Anwar tidak perlu takut kalau beliau bukan “lelaki Y” yang DNAnya dikenalpasti pada Mohd Saiful Bukhari Azlan. Malah Anwar akan beruntung kalau DNAnya tidak sepadan dengan “lelaki Y” kerana ia akan memberi peluang bagi membersihkan namanya.

Sepatutnya sudah lama Anwar tampil dengan rela memberikan DNA apatah lagi beliau selalu melaung- laungkan mendukung keadilan dan kebenaran. Taktik beliau memberikan alasan untuk tidak memberikan DNA hanya menebalkan lagi tanggapan bahawa beliau takut kepada kebenaran yang akan terbukti nanti.

Malah beberapa bekas pemimpin PKR mendakwa, keengganan Anwar berbuat demikian kerana mahu melindungi rahsia besar yang belum meletup. Ia bukan sahaja melibatkan kes Saiful yang mengadu diliwat tetapi turut mempunyai kaitan hubungannya dengan seorang anggota keluarga pemimpin kanan PKR.

Awang musykil mengapa Anwar yang menggambarkan beliau pemimpin hebat dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, takut untuk diadili sepenuhnya. Bagaimana hendak menjadi Perdana Menteri sekiranya tidak berani bersumpah laknat dan kini mengelak memberikan sampel DNA? Aneh.

Kaedah bersumpah cara Islam ditolak, secara saintifik juga dinafikan. Maka memoir Dr Mahathir dan isu DNA mengukuhkan lagi hakikat siapa sebenarnya Anwar. Insya Allah, apa sekalipun misteri dan rahsia yang disembunyikan, akan terlerai jua akhirnya. — Mingguan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

1 comment

cicit ngah layor said...

Kalau saper2 teghingin ndak jadi PM,mesti beghani buat sumpah laknat.Kalau tidak,jangan mimpi.

Powered by Blogger.