Berita Harian diberi amaran keras: Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata akhbar Berita Harian telah diberikan amaran keras berikutan penyiaran ilustrasi yang mempersenda tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun dalam akhbar Berita Minggu, semalam.

Beliau berkata memandangkan isu ilustrasi berkaitan soal kemanusiaan, akhbar berkenaan tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Ini adalah soal kemanusiaan dan kita tidak boleh mengenakan tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 atau Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kita hanya memberi dalam bentuk amaran yang keras supaya tidak diulangi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi antara Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dengan kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan akhbar berkenaan supaya tidak menjadikan nahas atau bencana seperti tsunami yang melanda negara matahari terbit itu sebagai punca humor.

“Kami telah mengemukakan kepada Berita Harian supaya dalam nahas sebesar itu jangan ada apa-apa humor yang menyakitkan atau memilukan hati manusia, ianya perlu kita hadapi bersama.

“Jadi, sama ada Ultraman atau personaliti komik lain, kita tidak usah menjadikan ianya sebagai punca humor. Perkara ini sudah disampaikan kepada editor mereka dan mereka memohon maaf kepada masyarakat khususnya masyarakat di Jepun,” katanya.

Semalam, Berita Minggu menyiarkan karikatur hasil lukisan Zoy yang memaparkan superhero popular Jepun – Ultraman – lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, pelbagai pihak melahirkan rasa tidak puas hati dan kesal dengan sikap akhbar berkenaan yang dikatakan tidak sensitif terhadap nasib kurang baik yang menimpa rakyat Jepun.

Dalam pada itu, akhbar Berita Harian dalam muka hadapannya hari ini telah menyiarkan artikel memohon maaf mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Rais berkata semua syarikat telco telah diminta supaya memainkan peranan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau penggera segera menyampaikan maklumat kepada pelanggan mereka sekiranya keadaan di negara ini tidak stabil.

“Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) suaya memastikan semua syarikat telco, apabila ada darurat, bukan saja tsunami tapi apa saja kesusahan yang dialami oleh rakyat, maka kemudahan SMS dan penggera syarikat itu beroperasi,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi selama 10 tahun antara MKLSB dengan kerajaan, bagi operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL termasuk tapak premis MKL terdiri daripada lima lot tanah persekutuan yang dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Menurut perjanjian itu, MKLSB bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan menara tersebut mengikut standard menara telekomunikasi dan penyiaran yang diluluskan, serta sebagai sebuah pusat pelancongan dan hospitaliti. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.