Cubaan Guling Kerajaan : Muhyidin Dicabar Kemukakan Bukti

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin supaya mendatangkan bukti yang jelas terhadap tuduhannya yang menyatakan pembangkang sedang menghasut dan memprovokasi rakyat bagi menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di negara Asia Barat. Kenyataan beliau ini disiarkan di muka hadapan akhbar Berita Harian, 5 Mac 2011.

2. DPPNK menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu tuduhan rambang dan berniat jahat serta bertujuan untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat di mata rakyat Malaysia khususnya di DUN Kerdau dan Merlimau yang akan menyaksikan pilihanraya kecil pada 6 Mac 2011.

3. DPPNK ingin menyatakan bahawa Pakatan Rakyat selaku pembangkang di parlimen sentiasa menjunjung amalan demokrasi sihat yang dijamin oleh perlembagaan. Hakikatnya, yang sering mencabul demokrasi ialah Barisan Nasional yang seringkali bertindak di luar daripada lunas-lunas demokrasi.

4. Sebelum Tan Siri Muhyidin menuding jari kepada pembangkang, beliau perlu menjelaskan tindakan-tindakan Barisan Nasional yang tidak demokratik seperti menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Selain itu, tindakan tidak demokratik juga tercermin melalui tindakan Barisan Nasional yang menafikan royalti minyak sebelum ini kepada negeri Terengganu sewaktu diperintah oleh PAS dan sekarang Kelantan yang menerima nasib yang sama.

5. Adakah tindakan menyertai pilihanraya dan membuat penjelasan kepada rakyat agar tidak mengundi Barisan Nasional merupakan satu tindakan yang salah? Jika demikian, apa pula penjelasan Tan Sri Muhyiddin terhadap tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang melancarkan Gelombang Merah yang jelas ingin menggulingkan kerajaan negeri Kelantan?

6. Justeru, DPPNK menuntut agar Tan Sri Muhyiddin menyatakan secara terperinci tuduhan yang dilemparkan oleh beliau. Jika tidak, jelas sekali tuduhan tersebut hanyalah merupakan tuduhan rambang dan bertujuan untuk memfitnah Pakatan Rakyat.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 5 Mac 2011

No comments

Powered by Blogger.