Debat Dr M – Husam, SAMM tawar diri jadi penganjur

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menawar diri untuk menjadi penganjur debat berkaitan isu pengkhianat Melayu antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin, berkata pihaknya akan mengirim surat kepada Mahathir dan Husam pada Isnin ini, bagi merealisasikan debat berkenaan.

“Diharap kedua-dua pihak mengetepi ego demi bersama membina bangsa dan negara ini,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Husam sebelum ini mengajak Mahathir berdebat secara terbuka dalam isu Melayu berikutan tuduhan melulu bekas Perdana Menteri itu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

SAMM adalah organisasi gerakan anak muda Malaysia yang menyatukan perbagai anak muda dari perbagai latar.

Dalam kenyataannya, Badrul juga meminta semua pihak supaya tidak memandang debat sebagai pergaduhan, sebaliknya praktik yang harus dilakukan dalam mencari idea yang matang dan bernas.

“Debat adalah budaya politik sihat. Debat Mahathir – Husam mungkin boleh menjadi titik temu penting dalam mencari tapak mula melonjak pemikiran Melayu, khususnya mendepani cabaran zaman yang makin rumit,” katanya.

Beliau berkata, isu itu yang berlegar dalam bentuk penulisan terbuka, tidak menguntungkan, sebaliknya meleret dan membawa kepada komentar yang penuh sentimen perkauman dan tidak membina negara.

Sehubungan itu, Badrul yang dikenali sebagai Chegubard berkata, isu pengkhianat Melayu memerlukan pencerahan dengan membawanya kepada perdebatan yang sihat.

No comments

Powered by Blogger.