Dominique Ng berjaya raih dana bayar denda RM100,000

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Dominique Ng berjaya membayar denda kepada Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Siew Chian seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Sarawak.

Beliau diperintah berbuat demikian 26 Januari lalu oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ravintharan Paramaguru yang mendengar kes saman Chong terhadap Dominique pada tahun 2008.

Chong memfailkan saman fitnah terhadap Dominique berkaitan ucapan Dominique sewaktu pilihan raya umum 2008 sewaktu berkempen untuk calon KEADILAN, See Chee Hwa yang bertanding kerusi Parlimen Stampin.

Denda tersebut berjumlah RM100,000 dan Chong sebelum ini mengancam akan memfailkan notis muflis terhadap Dominique jika beliau gagal membayarnya dalam masa seminggu.

Denda tersebut yang berjumlah RM112,648.40 diserah Dominique kepada Chong di pejabat firma guamannya di Kuching hari ini. Ia berjaya dikumpul penyokong Dominique yang merayu kepada orang ramai untuk sumbangan wang tersebut.

Dominique dalam kenyataannya merakamkan penghargaan dan perasaan terhutang budi beliau kepada semua yang membantunya.

“Mereka terdiri daripada pelbagai lapis masyarakat – orang tua, penjaja, petani, penduduk rumah panjang, buruh, nelayan, pemilik kedai, ahli perniagaan dan wartawan,” kata Dominique.

Beliau berazam bekerja lebih keras untuk berkhidmat kepada penduduk di Dun Padungan dan bersuara bagi pihak mereka memandangkan mereka membantu beliau menyelesaikan denda itu, seperti dilapor Malaysiakini.

No comments

Powered by Blogger.