Fitnah beli tanah peneroka, Tuan Ibrahim failkan saman Utusan, TV3

Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berhasrat memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia dan TV3 kerana memfitnah beliau kononnya mengambil kesempatan di atas kedaifan peneroka Felda untuk membeli tanah mereka, lapor Harakahdaily.

Utusan dan Buletin Utama TV3 semalam menyiarkan fitnah berkenaan meskipun pembeli sebenar, Ibrahim Osman, tampil menafikan perkara itu dalam satu sidang akhbar lewat petang semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dalam sidang media di markas induk Pas di Kerdau petang semalam berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu itu dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim.

“Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini,” katanya.

Harakahdaily difahamkan Tuan Ibrahim akan berbincang dengan peguamnya untuk memfailkan saman tersebut serta beberapa pihak lain dalam masa terdekat.

Sementara itu, pemilik tanah berkenaan, Ibrahim Osman semalam membidas Umno kerana membuat fitnah itu, termasuk melaporkan ‘tuan tanah yang asal’ kini hidup dalam serba kedaifan.

“Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau (Tuan Ibrahim) untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.

“Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi daif sebagaimana didakwa,” kata Ibrahim.

No comments

Powered by Blogger.