Hishammuddin: Unit khas ditubuh teliti laporan video seks

PUTRAJAYA, 22 Mac — Satu unit khas akan ditubuhkan bagi meneliti laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung satu video seks, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Unit itu bertanggungjawab terus dengan Ketua Polis Negara,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tuduhan Anwar bahawa ia didalangi kerajaan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya lebih profesional, telus dan secara menyeluruh,” katanya.

Hishammuddin (gambar) berkata perkara itu akan dibawa ke peringkat Bukit Aman kerana ia dianggap sebagai kes berprofil tinggi dan kepentingan awam.

Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis Dang Wangi di sini berhubung video yang telah dipertontonkan kepada beberapa wakil media di Carcosa Seri Negara semalam.

Dalam laporan itu, di mana salinan diedarkan kepada media, Anwar menafikan penglibatannya dalam video lucah itu.

“Sementara itu, beliau boleh menuduh sesiapapun tetapi pada akhirnya, kita hanya mahukan kebenaran,” katanya.

Satu kumpulan yang enggan dikenali mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu, yang diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Datuk T, berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam masa seminggu ini.

Hishammuddin ditemui selepas “Penerimaan Petisyen Berkaitan Ratifikasi” Protokol Pilihan kepada konvensyen mengenai hak kanak-kanak, penjualan kanak-kanak, pelacuran dan porografi kanak-kanak di sini. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.