Jakim sahkan ada unsure pluralisme dalam ucapan Anwar in London

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan terdapat unsur-unsur pluralisme agama yang terkandung dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di London, Mac tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata antara unsur-unsur itu adalah mempertikaikan ekslusiviti kebenaran yang hanya terdapat dalam agama Islam dan mengakui faham “The Transcendent Unity of Religions” melalui konsep universal sufism (satu kebenaran banyak jalan).

Selain itu, beliau berkata unsur lain termasuk konsep kesamarataan agama, menafikan konsep benar dan sesat serta terpengaruh dengan faham Falsafah Abadi dan Kesatuan Metafizik.

“Jakim telah mengkaji ucapan tersebut dan di sana terdapat unsur-unsur pluralisme agama,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamil berkata Jakim sentiasa memantau dan mengkaji sebarang pemikiran yang menyeleweng termasuk pluralisme agama.

Katanya, muzakarah jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-74 pada 25 hingga 27 Julai 2006 ketika memutuskan berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-fahaman menyeleweng telah menyenaraikan konsep pluralisme agama sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan.

Sementara itu, Jamil Khir berkata pelbagai program penerangan akan disusun supaya masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas mengenai fahaman pluralisme, liberalisme dan sebagainya.

Sebelum ini, beliau berkata program penerangan telah bermula dengan adanya wacana membanteras gerakan pluralisme agama dan pemurtadan ummah pada 14 Dis tahun lepas dan wacana isu-isu semasa akidah pluralisme agama di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 15 Jan.

“Kita tahu ada gerakan yang terancang bahkan ada kekeliruan di kalangan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan persatuan yang ada hubung kait dengan agama tapi keliru dengan pluralisme dan sebagainya.

“Kerajaan menyedarinya bahkan bukan sekadar melihat dalam konteks hokum semata-mata dan tindakan untuk menjelaskan kepada rakyat telah bermula,” katanya ketika menjawab saranan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang mencadangkan agar kerajaan mengadakan muzakarah di peringkat kebangsaan bagi membincangkan beberapa salah faham yang membabitkan penyelewengan akidah. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.