Johari nafi minta sogokan untuk lompat parti

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul hari ini menafikan sekeras-kerasnya beliau meminta sogokan wang untuk melompat parti dan mengkhianati perjuangan KEADILAN seperti dakwaan dalang video seks palsu, Datuk Eskay Shazryl.

“Takkan saya nak minta RM100,000 sahaja. Kalau betul-betul nak rosakkan kredibiliti, baik saya minta RM3 juta atau RM4 juta terus,” katanya mengulas kenyataan Eskay semalam, kononnya beliau meminta ‘wang pelincir’ untuk melompat parti.

Katanya, beliau langsung tidak pernah membincangkan soal wang sewaktu menonton video itu kerana maklum kemungkinan diperangkap dengan alat perakam dalam bilik hotel berkenaan.

Johari berkata demikian pada sidang media khas melibatkan wartawan dan wakil media terpilih, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Dalam sidang media sama, beliau mengulangi pendiriannya bahawa pelaku hubungan seks itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menegaskan beberapa keraguan berkaitan rakaman video berkenaan.

Pertama, terdapat empat kamera digunakan untuk rakaman itu tetapi keempat-empat video itu merakam aksi tersebut dari sudut sama.

Kedua, Johari mempersoal mengapa kamera hitam putih digunakan dan bukannya kamera berwarna sedangkan teknologi sedia ada boleh digunakan untuk tujuan itu.

Ketiga, jarak antara kamera dan aksi itu begitu jauh.

Keempat, kata Johari, badan pelaku seks dalam rakaman berkenaan jauh lebih tegap berbanding Anwar.

Beliau turut menafi laporan yang menyatakan beliau bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya untuk menyiasat perkara itu dan berpendapat polis harus menyiasat dan menangkap Eskay dan Rahim Thamby Chik kerana memiliki rakaman lucah.

“Siasat dulu, tak perlu ada suruhan jaya diraja,” kata Johari.

Selepas pertemuan pertama, Johari berkata, beliau membawa bersama dua Ahli Parlimen yang juga bekas pelajar Malay College of Kuala Kangsar dan mengenali Anwar sejak kecil untuk menonton dan turut mengesahkan lelaki dalam video itu bukan Anwar.

“Mereka adalah Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Bahrin dan Ahli Parlimen Merbok, Abdul Rashid Din.

“Turut dibawa bersama ialah Ahli Parlimen KEADILAN yang aktif di Parlimen. Mereka adalah Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani (Kuala Langat), dan Amran (Tanah Merah),” kata Johari.

Johari tanpa sebarang keraguan menegaskan, keseluruhan rakaman adalah konspirasi dan turut mengulangi pendirian betapa Rahim Thamby Chik berdendam terhadap Anwar.

“Tan Sri Rahim adalah musuh ketat Anwar. (Dahulu) Kabinet membuat keputusan supaya beliau berundur dari jawatan ketua Menteri dan Ketua Pemuda Umno,” kata Johari.

No comments

Powered by Blogger.