Kedudukan Raja-Raja dan tuduhan derhaka

Oleh Subky Latif

TITAH Singgahsana di Parlimen oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mengingatkan antara lain supaya semua pihak cermat bila menyentuh kedudukan raja-raja.

Ia adalah ingatan penting kepada semua; kepada rakyat yang berpolitik dan yang membuat kajian ilmiah; dan kepada gaya hidup sekalian kerabat yang bergelar. Wajar bagi semua menjaga satun masing-masing bagi memperkukuh harmoni dan kesejahteraan tamaddun.


Saya percaya orang-orang politik yang bertanggungjawab, yang bercita-cita untuk memberi perkhidmatan kepada agama, bangsa dan negara tidak berpolitik dengan kedudukan raja-raja.

Semua tahu bahawa kedudukan raja-raja itu adalah keramat kepada keharmonian antara orang bergelar dan rakyat jelata, dan antara sesama masyakat majmuk. Ia juga elemen sensitiviti yang boleh meresahkan.

Tiada orang politik yang bercita-cita besar mahu diganggu oleh kewujudan institusi itu. Sekaliannya mahu menyumbang kepada kemurniannya dengan mengelak hal-hal yang mendatangkan keresahan.

Tetapi suatu gejala yang meresahkan yang perlu diperhatikan oleh golongan orang bergelar menonjolkan isu derhaka sebagai senjata politik yang ampuh dan rapuh.

Raja-raja sayugia peka dengan kepura-puraan gejala yang bermain isu derhaka bagi maraih faedah politik tetapi boleh mengeruhkan keharmonian dan mengganggu ketenangan orang atas terhadap orang bawah serta boleh mengelirukan kesediaan orang bawah kepada orang atas.

Majlis Raja-Raja wajar duduk sama sendiri merenung dan meneropong kerenah orang bermain isu derhaka yang pernah merosakkan hubungan harmoni dan kenenangan yang sewajarnya dipupuk di kalangan istana dan rakyat, bukan melagakan raja-raja dengan golongan tertentu di kalangan rakyat masing-masing.

Kerenah orang itu dikatakan anti raja dan orang ini derhaka, tetapi bertabur di persada politik sejak negara mencapai kemerdekaan. Ada yang menempelak Ahmad Boestamam dan Pak Sako yang memperjuangkan kemerdekaan mengikut aliran kiri dikatakan hendak menegakkan pemerintahan republik di negara ini.

Ia menyebabkan ada raja yang curiga dengan setengah rakyat dan dekat dengan setengah rakyat. Dan sebaliknya ada rakyat yang dicurigai itu menjauhkan diri dari orang istana dan sekalian orang bergelar.

Adalah benar Ahmad Boestamam dan Pak Sako mengkritik sistem feudal, tetapi mereka menerima gelaran Dato. Boestamam mati sebagai Dato yang diberi oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak dan Pak Sako dianugerah Dato oleh Sultan Pahang. Apabila orang-orang ini didekati oleh raja, pengikut mereka ada pesepsi baru tentang feudalisma.

Tetapi kalau istana ragu tentang setengah rakyat, ia memungkinkan orang-orang ini menyimpan satu persepsi tertentu terhadap raja. Persepsi boleh menimbulkan berbagai kerenah, tidak mustahil orang membincang perkara yang bukan-bukan tentang istana dan raja.

Mungkin ada orang bukan Melayu ada pandangan berbeza terhadap raja. Tetapi orang bukan Melayu juga berlumba-lumba dan sanggup berhabis untuk mendapat gelaran berbagai pingat dari raja.

Sukar bagi mana-mana kuasa politik berjaya jika ia ada persepsi yang menjarakkannya dengan raja. British ada kuasa penting sebelum mereka. Ia mencorakkan politik dan kedudukan raja-raja. Apabila British cuba menyentuh kedudukan raja melalui gagasan Malayan Union, British juga tonggang-langgang.

Justeru itu orang politik belajar dari kejadian itu dan kesimpulannya kedudukan raja itu suatu yang mesti diterima.

Apa yang berlaku hingga datang Titah dari Singgahsana tentang bimbang dengan kedudukan raja-raja, bukan kerana raja itu ditolak tetapi gara-gara hantu derhaka yang berlegar luas di tengah masyarakat. Hantu itu memang telah berjaya menggerun istana dan kedudukan raja-raja menjadi soal yang tidak selesai setelah sekian lama merka.

Istana dan pemerintah mesti membuang hantu derhaka itu ke Laut China Selatan untuk selama-lamanya kerana ia mengganggu ketengangan istana dan mengelurikan kesetiaan rakyat.

Apabila isu derhaka ini dimainkan, ia mengundang orang untuk mendengarnya. Orang yang tidak tertarik pun jika selalu mendengarnya, akan ada sesuatu yang lekat di kepalanya.

Mesyuarat Raja-Raja mesti melihat serius isu ini jika mahu kedudukan raja-raja itu terus rukun dan damai. Jika isu derhaka dimainkan, lepas 100 tahun merdeka pun ia berbunyi lagi. Raja tidak wajar berpolitik tetapi raja patut tahu politik supaya tidak menjadi tawanan orang politik

No comments

Powered by Blogger.