Kedutaan Iran Nafi Laporan Berhubung Kontena Berisi Komponen Bina Senjata Nuklear

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kedutaan Iran menafikan laporan media mengenai penahanan sebuah kapal dan rampasan dua kontena muatan dipercayai membawa peralatan untuk menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran dalam sebuah kapal yang berlabuh di West Port.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, kedutaan itu berkata Iran sebagai anggota yang menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan satu daripada mangsa terbesar dalam penggunaan senjata pemusnah besar-besaran itu,tidak pernah mencuba untuk memiliki, memperoleh atau membinanya.

“Adalah penting dinyatakan bahawa pegawai Iran berulang kali mencela penggunaan senjata pemusnah itu, memandangkan pemimpin agung Iran, Ayatollah AliKhamenei telahpun mengeluarkan satu fatwa bahawa Islam menentang senjata nuklear dan bahawa Tehran tidak mencuba untuk membinanya,” kata kenyataan itu.

Kedutaan itu berkata matlamat program nuklear Iran semata-mata bertujuan untuk keamanan dan sebagai anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)dan anggota NPT, ia berhak untuk teknologi nuklear yang aman.

“Bahan-bahan nuklear Iran adalah di bawah pemantauan rapi IAEA dan bahawa Tehran sentiasa bekerjasama dengan agensi itu dalam mengaplikasi perjanjian untuk melindungi kemudahan dan bahan nuklearnya.

“Hak Iran memajukan program nuklear awamnya di dalam lingkungan kerangka IAEA perlu dihormati,” kata kenyataan itu.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan bahawa dua kontena yang dirampas dari sebuah kapal yang berlabuh di West Port baru-baru inimengandungi komponen senjata.

Kapal dari China itu dalam perjalanan ke Iran.

-BERNAMA-

No comments

Powered by Blogger.