Kelantan cari penawar duka

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0315/Kosmo/Sukan/su_03.1.jpg

KARATHU (lima dari kanan) menyampaikan amanat kepada para pemain Kelantan pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.

KELANTAN tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas Felda United pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Misi itu dilancarkan selepas Kelantan dikejutkan dengan leburnya rekod tanpa kalah sepanjang 540 minit (enam perlawanan) kepada Pahang dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu,

Kemenangan bukan sahaja diperlukan untuk membangkitkan semula moral pasukan tetapi apa yang lebih penting ialah bekalan jaringan yang selesa perlu dibawa untuk perlawanan timbal balik pada Jumaat ini.

Meskipun aksi kedua akan berlangsung di Kota Bharu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan malam ini.

Menurutnya, kekalahan kepada Pahang tempoh hari perlu dijadikan pengajaran berguna buat pasukan itu untuk tampil lebih bersedia dalam perlawanan seterusnya.

"Saya mahu pemain bangkit dengan semangat baru dan melupakan kekalahan kepada Pahang dan kembali fokus dalam saingan Piala FA malam esok (malam ini). Kita tiada pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Felda United.

"Kemenangan pada aksi pertama cukup penting buat kita dan saya mahu pemain mencari gol sebanyak mungkin sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan kedua," katanya semalam.

Tambahnya, kemenangan yang dilakar pada perlawanan malam ini dilihat akan memberikan kelebihan buat pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bekas jurulatih Perak itu memberitahu, dia turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak mengambil mudah dalam perlawanan tersebut.

"Felda sebuah pasukan yang kuat, jadi kita kena berhati-hati dengan corak permaianan mereka. Mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman dan kemenangan 2-0 keatas Perlis tempoh hari dilihat akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk bertemu kita.

"Mahu tak mahu pemain kena bersedia dengan perlawanan ini. Meskipun saya kehilangan khidmat Zairol Fitree Ishak yang mengumpul dua kad kuning mungkin menjejaskan persiapan pasukan saya," ujarnya.

Jelasnya, untuk perlawanan malam ini beliau sudah mengenalpasti kelemahan yang ada dalam pasukan selepas tewas kepada Pahang.

"Saya akan memperbaiki kelemahan tersebut dan saya mahu pemain yang diturunkan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perlawanan tersebut," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi berkata, beliau yakin rakan-rakan sepasukannya mampu bangkit dan melupakan kekalahan pada perlawanan lalu.

"Untuk perlawanan malam esok (malam ini), saya serta rakan-rakan berjanji akan menggunakan setiap peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol bagi memastikan kita membawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua nanti.

"Saya mahu rakan-rakan melupakan kekalahan dengan Pahang sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan malam esok (malam ini). Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak KAFA," ujarnya.

Kelantan layak ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Johor FC 1-0 pada aksi pusingan kedua dan sebelum itu membenam cabaran T-Team pada pusingan pertama.

No comments

Powered by Blogger.