Menang berganda bukti sokongan BN makin meningkat, kata Najib

Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 7 Mac — Kemenangan berganda pada dua pilihan raya kecil serentak semalam mencerminkan trend aliran sokongan yang semakin meningkat untuk Barisan Nasional (BN) selepas Mac 2008, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sehubungan itu Perdana Menteri juga mengambil kesempatan untuk membidas Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa ramai orangnya sendiri dalam perikatan itu menganggap beliau sebagai satu liabiliti sekarang.

“Malah, saya dengar, PAS merasakan tidak selesa apabila beliau muncul ketika pilihan raya kecil. Ada yang menghantar mesej meminta agar beliau jangan datang.

“Jadi, ini menunjukkan di kalangan mereka sendiri, mereka tidak berkongsi keyakinan antara satu sama lain,” kata beliau hari ini.

Ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Najib yang juga Pengerusi BN berkata PAS berada dalam “keadaan tertekan” selepas penyokong-penyokongnya ragu-ragu dengan kerjasama mereka bersama DAP.

“Kemenangan malam tadi memperkukuhkan lagi trend semasa di mana sokongan BN semakin meningkat.

“Tambahan pula, dalam kedua-dua kemenangan, majoriti kami meningkat . . . ini bukan sesuatu yang berlaku di satu tempat, jadi ia menunjukkan peningkatan dalam trend sokongan kepada BN,” katanya lagi.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad menewaskan calon PAS Yuhaizat Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan memperoleh 5,962 undi berbanding Yuhaizad, 2,319 undi.

Di Kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hasanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim memperoleh 5,060 undi sementara Hasanuddin 2,336 undi.

Guna duit rakyat malaysia untuk umno. memang laknat!

No comments

Powered by Blogger.