Pelatih Pulapol mati akibat jangkitan virus ‘Adenovirus’

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Seorang pelatih konstabel lelaki meninggal dunia malam tadi setelah mengalami jangkitan virus ‘Adenovirus’ yang telah berlaku di kalangan pelatih-pelatih di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) sejak Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pelatih yang berumur 21 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu meninggal dunia kira-kira 8.30 malam tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kini dua lagi pelatih sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan dan 28 lagi sedang dirawat di wad biasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengambil tindakan-tindakan perlu untuk menangani keadaan itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa PDRM telah dan akan mengambil semua langkah perlu dan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan dalam menangani masalah jangkitan virus ini,” katanya.

Ismail berkata semua kegiatan latihan digantung sementara sehingga mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan mengenai kesesuaian untuk meneruskan latihan asas.

“Seramai 226 orang pelatih telah diasingkan untuk pemerhatian dan rawatan lanjut oleh Kementerian Kesihatan, manakala selebihnya telah ditempatkan dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Katanya Bilik Gerakan Khas di pusat berkenaan telah dibuka untuk menyelaras dan mengendali hal tersebut.

“Perkembangan keadaan akan dimaklumkan oleh Komandan Pulapol kepada ahli keluarga dan orang ramai dari masa ke semasa. Ahli keluarga yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-26882009,” katanya.

Selain itu, maklumat juga boleh diperoleh menerusi laman sosial facebook PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia dan juga laman web rasmi PDRM di www.rmp.gov.my.

Terdapat seramai 1,945 pelatih yang mengikuti Latihan Asas Kepolisan dalam dua kategori iaitu Inspektor (993) dan Konstabel (952) selain terdapat 854 kakitangan yang bertugas di pusat terbabit.

Sementara itu dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelatih berkenaan meninggal dunia selepas mengalami gejala serupa Influenza (ILI).

Beliau mula mengalami ILI pada 15 Feb lalu dan telah mendapatkan rawatan di HKL pada 28 Februari.

Menurut Liow pelatih itu kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Sabtu lalu dan meninggal dunia pada 8.30 malam tadi akibat komplikasi ‘Community Acquired Pneumonia with Multiorgan Failure’.

Liow berkata selain pelatih itu, 28 orang lagi telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan dua kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 26 kes lagi ditempatkan di wad biasa.

“Seramai 182 orang pelatih lagi kini diasingkan di Pulapol menjadikan kesemuanya sehingga malam semalam seramai 210 orang mengalami gejala ILI,” katanya.

Menurut Liow hasil siasatan mendapati terdapat jangkitan Adenovirus di kalangan pelatih di PULAPOL daripada hasil ujian sampel calitan tekak ke atas pelatih yang diasingkan.

“Daripada 20 sampel yang diambil, keputusan makmal menunjukkan 18 daripadanya positif serangan Adenovirus,” katanya.

Beliau berkata Adenovirus mengakibatkan jangkitan pada pernafasan, cirit-birit dan sejenis radang di bahagian putih mata pesakit serta ia pernah dilaporkan menyerang di institusi tentera di Amerika Syarikat (AS).

“Lazimnya, ia menyebabkan jangkitan ringan tetapi kejadian komplikasi dan kematian pernah dilaporkan di Atlanta, AS,” katanya.

Liow berkata jangkitan mula-mula dikesan apabila tiga pelatih Pulapol mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur kerana gejala ILI.

“Langkah kawalan dan pencegahan terhadap serangan virus itu akan diteruskan setiap hari kepada pelatih yang berada di pusat latihan itu,” kata Liow. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.