Penipu atau tidak, hanya Rosmah tahu kebenarannya – Zuraida

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansur sekarang berhadapan tekanan dan ketakutan melampau apabila pekungnya saban hari didedahkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mengulas demikian sebagai respon berhubung kenyataan isteri Perdana Menteri (PM) itu yang dilapor media baru-baru ini bertajuk: “Rosmah: Adakah saya kelihatan seperti penipu?”.

Ahli Parlimen Ampang itu juga menyifatkan kenyataan Rosmah tersebut keterlaluan sekaligus menunjukkan beliau berbangga terhadap perlakuannya sendiri.

“Secara statistik kebanyakan penipu, pembunuh, pengebom mahupun perogol tidak kelihatan seperti seorang penjenayah sekalipun. Kebanyakannya berperwatakan mesra dan penampilan yang boleh dipercayai, sebelum akhirnya segalanya didedahkan,” kata Zuraida kepada Keadilan Daily.com dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Zuraida turut mengemukakan bukti yang mampu menjawab pertanyaan Rosmah bahawa adakah beliau seorang penipu.

Menurut Zuraida, persoalan Rosmah itu terjawab apabila tiga wanita Sarawak pada Mac tahun lalu menyerahkan petisyen dan Laporan Pasukan Petugas Penan secara peribadi kepada Rosmah dalam usaha untuk mendapatkan ihsan sokongannya selaku isteri PM bagi bersama membela hak wanita dan kanak-kanak kaum itu yang dianiyai dan menjadi mangsa rogol pembalak yang tidak bertanggugjawab.

“Jelas, respon Rosmah ketika itu bahawa beliau berjanji akan mengambil perhatian terhadap isu ini bersifat politik semata-mata kerana sehingga kini setelah setahun tiada satu tindakan yang diambil oleh beliau bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya juga persoalkan mengapakah peruntukan yang terlalu melampau, iaitu sebanyak RM24 juta boleh diluluskan buat Sidang Kemuncak “Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok” pada program Sidang Kemuncak Wanita Pertama 2010 Oktober lepas, walhal masalah Penan ini tidak diselesaikan lagi.

“(Sedangkan) Peruntukan RM24 juta yang dibazirkan itu mampu digunakan untuk membina lebih 50 sekolah di kampung-kampung luar bandar Sarawak dan mampu digunakan selama 20 tahun buat tujuan pendidikan kanak-kanak di negeri itu,” katanya.

Beliau juga menggesa agar peruntukan RM111 juta buat Program Permata Negara dapat disalurkan sebahagiannya kepada Kumpulan Sokongan Penan khasnya bagi tujuan pendidikan anak-anak kaum itu dan anak-anak Sarawak amnya.

Justeru, beliau mendesak kedua-dua dana ‘istimewa’ ini disiasat bagi mendapatkan ketelusan pengalirannya.

“Sama ada benar Rosmah seorang penipu atau tidak, hanya yang dia tahu kebenarannya,” kata Zuraida.

No comments

Powered by Blogger.