Permintaan Kim Swee kepada FAM

JURULATIH skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee mempunyai satu permintaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dia mahu permintaannya itu ditunaikan sebelum aksi timbal balik pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 pada 19 dan 23 Jun depan.

Menyedari jadual ketat dalam saingan Liga Super yang terpaksa diharungi, pengendali berusia 41 tahun itu mahu tiga perlawanan liga sepanjang Jun yang membabitkan pasukan Harimau Muda A ditunda ke Julai.

Ia bagi membolehkan skuad Olimpik kebangsaan mempunyai masa lebih panjang mengadakan kem latihan pusat selain mengatur aksi persahabatan antarabangsa sebelum aksi timbal balik pusingan kedua itu bermula.

“Perlawanan terakhir Liga Super bagi bulan Mei ialah pada 24 Mei apabila Harimau Muda A bertemu Selangor untuk perlawanan ke-21.

“Saya akan meminta kepada FAM supaya tiga perlawanan kami sepanjang Julai (14, 17 dan 21 Julai) ditunda selepas selesai aksi pusingan kedua Kelayakan Olimpik.

“Jadi, dapatlah saya kumpul pemain bermula 25 Mei dan mempunyai masa tiga minggu untuk mengadakan persiapan,” katanya ketika ditemui Kosmo! setibanya dari Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.

Malaysia mara setelah menyingkirkan Pakistan dengan agregat 2-0 dan lawan mereka pada pusingan kedua akan ditentukan pada majlis undian 30 Mac depan.

Ditanya sama ada berlaku pertukaran pemain untuk pusingan kedua, Kim Swee berkata, ia bergantung kepada prestasi para pemain berusia 22 tahun dan ke bawah pada saingan Liga Super dan Liga Premier sepanjang dua bulan ini.

“Saya sudah daftar 47 pemain termasuk daripada skuad Harimau Muda B dan PKNS FC. Peluang masih terbuka jika ada pemain yang saya lihat mempamerkan aksi baik pada saingan liga selepas ini,” jelasnya.

Sebaik tiba pagi semalam, Kim Swee bersama-sama 12 pemain skuad Olimpik kebangsaan terus berlepas ke Kota Kinabalu untuk aksi Liga Super yang menemukan Harimau Muda A dengan Sabah.

“Saya terpaksa panggil enam pemain yang tidak ke Pakistan kerana dua pemain cedera dan tidak dapat ke Sabah iaitu Fadhli Shas (hamstring) dan Irfan Fazail (buku lali),” ujar Kim Swee.

No comments

Powered by Blogger.