PRK Merlimau: Kenderaan penyokong Pakatan dirosak

MERLIMAU: Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Merlimau dicemari beberapa perbuatan khianat membabitkan perbuatan merosakkan kenderaan penyokong Pakatan Rakyat.

Dalam kejadian terbaru, cermin dua buah kereta dipecah, tayar motorsikal dipancitkan dan tempat kunci dua lagi motorsikal dirosakkan ketika pemiliknya menghadiri ceramah Pakatan Rakyat semalam, lapor laman web dalam talian, Malaysiakini.com.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari berkata, kenderaan berkenaan dirosakkan di Jalan Pahlawan, lokasi ceramah yang dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Salah seorang mangsa, Nor Azhanizam Azmi berkata beliau menyedari cermin bahagian pemandu kereta Perodua Myvi miliknya dipecahkan sekitar jam 12.20 pagi selepas selesai ceramah tersebut. Cermin kereta itu mempunyai pelekat gambar Muryidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menandakan beliau penyokong Pakatan Rakyat.

Saksi kejadian juga memberitahu, polis dilihat merakam kenderaan yang dirosakkan dan terdapat anggota polis yang ramai pada malam berkenaan. Kejadian ini merupakan susulan dari beberapa kejadian yang sama, seperti berlaku pada seorang penduduk apabila cermin keretanya dipecah di hadapan bilik operasi Dap baru-baru ini.

Sebelum ini, sebuah pentas yang didirikan Dap turut dilaporkan musnah, dipercayai angkara perbuatan khianat. Manakala ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat juga sering diganggu dengan kumpulan remaja bermotorsikal, dipercayai diupah Pemuda Umno untuk membuat kacau.

Naib Presiden Pas, dalam sidang media hari ini dilapor berkata, Pas tidak keberatan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Melaka sekiranya gangguan itu berterusan.

“Kita sedang memberi perhatian untuk bertemu dengan pihak polis. Kita lihat sehingga malam ini, jika gangguan dan perbuatan khianat masih berterusan, kita tak keberatan untuk bertemu pihak polis bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.