PRK Merlimau – tiga strategi PAS mencipta kemenangan

Kerusi N.27 Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, ahli Exco Negeri Melaka dari Umno-BN pada 20 Januari lepas. Justeru suatu pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan pada 6 Mac nanti, iaitu PRK yang pertama di Melaka yang menjadi titik penting bagi Pakatan Rakyat membaiki kelemahan selepas kekalahan di PRK Tenang. Malah turut penting buat kerajaan BN Melaka selepas diisytiharkan Melaka Maju 2010.

PRK lepas

Setakat ini SPR telah mengendalikan 14 PRK dengan yang pertama pada 26 Ogos 2008 (Parlimen Permatang Pauh) dan terakhir 30 Januari lalu (DUN Tenang). Namun PRK Merlimau ini agak uniknya kerana bersekali dengan Dun Kerdau yang juga kematian Adunnya pada petang 12 Februari 2011. Setakat ini, PRK yang serentak adalah melibatkan Bukit Gantang yang bersekali dengan Bukit Selambau dan Batang Ai (7 April 2009), dan juga Manek Urai yang bersekali dengan Batu Sapi (4 November 2010). Ini bermakna PRK Merlimau adalah ke-15 dan Kerdau ke-16.

Sehubungan itu, PRK yang diadakan sebahagian besarnya disebabkan kematian wakil rakyatnya. Sebanyak 13 PRK yang melibatkan kematian, iaitu parlimen Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai, Hulu Selangor, Sibu, Batu Sapi, dan dun Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas, Tenang dan Merlimau serta Kerdau. Sementara itu, terdapat tiga PRK kerana perletakan jawatan wakil rakyatnya, iaitu parlimen Permatang Pauh, dun Penanti dan dun Bukit Selambau.

Merlimau kubu BN

Pada PRU 2008 dan juga beberapa pilihan raya sebelumnya, keputusannya sentiasa berpihak pada BN. Pada tiga pilihan raya terakhir, pengaruh oposisi hanya meraih sokongan 31 peratus (1999), 19 peratus (2004) dan 36 peratus (2004). Rekod sokongan itu mengesahkan BN kuat dan oposisi belum berupaya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas (ke-12) pada 8 Mac 2008, PAS hanya mengulangi capaian undi di bawah 42 peratus di setiap daerah mengundi. Berikut adalah undi PAS setiap daerah mengundi yang dapat digambarkan mengikut pola kaum:

Daerah Mengundi


Undi PAS


Pola kaum

Jumlah


%

01 - AYER MERBAU


266


38.49


Cina – 31%

02 – CHINCHIN


528


35.13


Melayu – 76%

03 - JASIN LALANG


196


40.75


India – 51%

04 - MERLIMAU UTARA


174


42.65


India – 39%

05 - MERLIMAU PASIR


592


37.54


Cina – 24%

06 - PERMATANG SERAI


504


33.07


Melayu – 83%

07 - PENGKALAN SAMAK


562


35.41


Melayu – 65%

08 – POS


5


13.51


Jumlah


2,827


36.21


Berdasarkan undi PAS tersebut, peratusan undi purata mengikut kaum adalah sebanyak 34 peratus daripada orang Melayu, 36.5 peratus Cina dan sebanyak 41.10 peratus India.

Ini bermakna PAS yang memperolehi 2,827 undi (daripada 7,808 undi sah) adalah masing-masingnya disumbangkan oleh 1,752 undi orang Melayu, 617 undi Cina dan 459 undi India. Ini menunjukkan populariti PAS di Merlimau di bawah paras 40 peratus yang masih selamat untuk BN mempertahankan kemenangan di kubu kuatnya.

Analisis pengaruh PAS

Suatu realiti yang perlu diakui PAS ialah pola undi Melayu kepada PAS terendah berbanding dengan Cina dan India. Kenapa? Fakta yang agak realistik dalam konteks PAS di Melaka ini mungkin ada kaitannya dengan dua isu besar yang dijaja oleh pengempen BN kepada pengundi di Merlimau. Pertama PAS dijaja sebagai parti yang sanggup jual Islam demi berbaik dengan DAP, dan keduanya, DAP dijaja sebagai parti yang bersekongkol dengan PAS untuk menubuhkan isu Negara Islam. Isu pertama dijaja oleh Umno kepada orang Melayu dan isu kedua dijaja oleh MCA untuk menimbulkan sentimen benci pengundi Cina kepada Negara Islam sekaligus akan menolak PAS.

Malah pendekatan kempen buruk Umno dan MCA itu turut dilakukan oleh media massa arus perdana. Maka, munasabahnya seperti dikatakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Sinar Harian, 21 Februari 2011), pendekatan media perdana yang tidak memberi tempat kepada PAS menjelaskan perkara sebenar. Di samping pihak kerajaan BN didapati tidak adil menggunakan media berkenaan, malah turut memutarbelitkan fakta sebenar dengan bertujuan memburukkan lagi persepsi orang Melayu terhadap PAS dan pemimpinnya.

Agak berbeza dengan pengundi India yang dilihat lebih tinggi keyakinannya terhadap PAS semasa pilihan raya umum lalu. Mungkin ada hubungannya dengan pengaruh ‘Makkal Shakti’ dan gerakan Hindraf yang bangkit menolak kepimpinan MIC yang gagal membela kaum India di ladang-ladang. Kebetulan di Merlimau, pengundi India adalah rata-rata bekerja di ladang. Justeru apakah momentum penolakan terhadap MIC masih wujud kalangan pengundi India?

Undi status-quo

Jika peratus penerimaan pengundi terhadap PAS bersifat status-quo seperti mana pilihan raya lepas, bermakna peratus pengundi yang bakal mengundi PAS pada PRK kali ini dijangka tidak berubah. Berdasarkan rumusan purata undi PAS mengikut kaum di Dun Merlimau itu, maka PAS tetap akan menerima kekalahan semakin besar berikutan berlaku tambahan 208 undi (dari 10,471 pada PRU 2008 kepada10,679 pada PRK ini). Di samping kemungkinan jumlah keluar mengundi juga akan meningkat daripada 76 kepada 78 peratus.

Pengaruh PAS dikatakan masih pada status-quo kerana di pihak PAS tidak berlaku perkembangan luar biasa yang mencetus sokongan bertambah selama tempoh 2008 sehingga 2011. Malah tiada cawangan baru ditubuhkan dan aktiviti parti pula berlaku secara normal. Justeru PAS di Dun Merlimau dilihat setara dengan Dun Tenang yang juga tiada perkembangan luar biasa sejak 2008 menyebabkan PAS kalah teruk.

Bertolak daripada nilai status-quo itu, mungkin analisis berikutnya (lihat Jadual 1) boleh memberi sedikit gambaran jangkaan undi PAS dan BN dengan andaian keluar mengundinya sekitar 78 peratus.

Jadual 1: Kedudukan status-quo - pengaruh PAS yang tidak berubah sejak 2008-2011

Komposisi kaum


K=78%


PAS


BN


Majoriti

Melayu


64.74%


6,970


5,437


1,878


34.54%


3,559


65.46%


-1,681

Cina


21.26%


2,289


1,785


679


38.02%


1,107


61.98%


-428

India


14.00%


1,507


1,175


490


41.70%


685


58.30%


-195




10,766


8,397


3,047


36.28%


5,351


63.72%


-2,304

Daripada rajah ini, PAS bakal meraih sekitar 3,047 undi dan BN sebanyak 5,351 undi, maka BN akan menang sebanyak 2,304 undi majoriti. Walau pun PAS dikira mendapat tambahan undi, tetapi ia tidak memberi makna kerana BN juga dijangka meneraih tambahan sokongan.

Mengubah status-quo

Apa pun nilai status-quo tersebut, misi PAS dan Pakatan Rakyat perlulah komited ke arah mengubah kepercayaan politik pengundi Dun Merlimau. Berasaskan persekitaran transcendental sosiobudaya dan politiknya Merlimau (Melaka) sama dengan Tenang (Johor), sememangnya pengaruh PAS tidak mencengkam disebabkan keupayaan berwacana di kalangan pengundi Melayu menggunakan laras bahasa perjuangan Islam dilihat amat liat. Justeru di Merlimau simpanan tetap (baca undi teras) BN sama dengan Tenang yang sudah ada 4,000 undi sedangkan PAS masih kosong. Ia cukup membuktikan orang Melayu Johor dan Melaka begitu mantap nasionalisnya, sehinggakan tidak menerima perjuangan Islam dibawa PAS. Mungkin mereka dalam ketagori penyumbang simpanan tetap BN itu tidak reda untuk mencapuradukkan perjuangan nasionalis dengan Islam. Atas alasan ini logiknya mereka menolak PAS dan sebut sahaja nama PAS sudah tentu mereka alergik. Demikian nasibnya generasi sulung yang menerima akidah Islam di tanah air ini. Dalam hal ini, para pejuang Islam harus tabik ‘spring’ kepada rakyat Kelantan kerana mantap dengan PAS dan perjuangan Islam, meskipun kisah pengIslaman mereka tiada dicatit dalam Sejarah Melayu.

Apa pun, sosiobudaya boleh berubah mengikut perkembangan politik semasa. Hosni Mubarak selama 30 tahun di takhta kuasa boleh direntap oleh rakyat, maka apakah pengundi BN terus utuh selama-lamanya? Lihat sahaja, kesan kerjasama politik PAS bersama Pakatan Rakyat yang berjaya mencipta lanskap baru politik tanah air. Ini wajar dilihat dan dibaca serta direnung oleh pengundi Merlimau. Pengundi BN harus mengambil kesedaran untuk mengubah senario status-quo mereka dengan beralih mengundi PAS. Lebih-lebih lagi apabila melihat kepada sokongan pengundi baru (generasi muda) dan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat dalam beberapa pilihan raya kecil termasuk di Sibu, Sarawak.

Sementara itu, perkembangan semasa melibatkan tadbir urus kerajaan BN yang sudah hilang integritinya berikutan pelbagai kesan yang mendera rakyat, termasuk kenaikan harga barang, korupsi di sebalik projek, akhlak teruk pemimpin BN dan salahguna kuasa secara terang-terangan. Atas fakta ini sewajarnya sikap politik pengundi BN di Merlimau pun boleh berubah dan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Bagi PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di Merlimau kali ini perlu bekerja keras dan agresif bagi memastikan misi perubahan sikap pengundi BN kepada PAS berjaya. Jentera PAS boleh melaksanakan misi ini melalui tiga strategi, iaitu mendedah sebanyak mungkin isu-isu berkaitan integriti pemimpin BN, menyebar sebanyak mungkin berita kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat berbanding kerajaan negeri BN, dan meyakinkan peri penting peranan wakil rakyat PAS di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Menerusi strategi pertama, pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat sepatutnya boleh berkata benar (baca beralaskan fakta) kepada semua pengundi Merlimau bahawa semua pemimpin BN pada hari ini sudah merosot teruk integriti mereka. Termasuklah Ketua Menteri Melaka sendiri yang dilihat banyak melakukan ‘kecurangan’ pentadbiran kerana gagal memakmurkan rakyat di sebalik pengisytiharan Melaka Negeri Maju. Perlu diseret sama dalam isu integriti ini ialah Perdana Menteri sendiri yang masih ‘tidak selesai’ dengan persepsi skandal Altantuya dan ditambah pula dengan karenah penyalahgunaan wang rakyat demi ‘first lady.’ Selain itu, harus dibangkitkan juga kegagalan urus tadbir polis yang melibatkan kematian dalam lokap, kes pembunuhan Sosilawati dan sebagainya. Di samping terus membangkitkan integriti SPRM dalam kes kematian Teoh Beng Hock dan tiada penyiasatan ke atas ‘jerung.’

Demikian pula, strategi kedua boleh dijayakan dengan cara mempamerkan kekuatan Pakatan Rakyat ialah program mesra rakyat yang berjaya dilaksanakan oleh negeri Pekatan Rakyat dan kandungan Buku Jingga yang dibimbangi pihak BN. Justeru program itu harus diberitahu kepada semua pengundi sebagai asas untuk pengundi menyakini bukan BN sahaja yang boleh. Pakatan Rakyat pun boleh mentadbir negara dan negeri dengan cemerlang.

Seterusnya di sebalik strategi ketiga, keupayaan calon PAS harus dipamerkan kepada pengundi menerusi pelbagai pendekatan kempen calon. Misi dan tujuan PAS untuk menghantar wakilnya ke Dewan Undangan Negeri Melaka (Dewan) harus diterangkan secara rasional kepada pengundi. Misalnya peri pentingnya suara dari PAS dan Adun Islam di dalam Dewan bagi mengimbangi kuasa mutlak Adun Umno. Sedangkan pengundi Cina sudah mempunyai suara pengimbang melalui lima Adun DAP, iaitu Goh Leong San (DAP-Kesidang), Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana), Lim Jak Wong (Bachang) Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir). Mungkin bagi pengundi Melayu, calon PAS di Merlimau nanti wajar dipilih bagi mengimbangi suara Adun Melayu dari Umno. Justeru kempen calon haruslah menampilkan aspek kredibel dan akhlak terbaik untuk menarik sokongan pengundi yang pelbagai kaum. Harus diutamakan ialah kempen bagi meraih sokongan 1,770 pengundi atas pagar dan 400 orang ‘first time voter’ yang menjadi faktor penentu kemenangan PAS.

Semoga PRK Merlimau bakal memberi impak yang signifikan bagi PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus bangkit memikul amanah rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/2011/03/prk-merlimau-tiga-strategi-pas-mencipta.html

No comments

Powered by Blogger.