Safee cipta aura di Karawang

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

HANYA selepas beraksi satu perlawanan bersama Pelita Jaya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali sudah mencipta satu aura baru di kalangan penyokong kelab itu yang rata-ratanya penduduk di Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

Suasana Stadium Singaperbangsa berkapasiti 12,000 tempat duduk buat kali pertamanya mencatat kehadiran tertinggi musim ini iaitu 6,000 penonton pada aksi bertemu Sriwijaya FC kelmarin yang berkesudahan Pelita Jaya menang 1-0 menerusi jaringan Safee.

Sebelum ini suasana agak hambar memandangkan Pelita Jaya menduduki tangga tercorot iaitu ke-15 dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL) setelah berakhir 14 perlawanan pusingan pertama.

Namun selepas hanya satu perlawanan pusingan kedua berlangsung, Pelita Jaya kini sudah melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-13 mengatasi Persela dan Bontang FC.

"Safee memang bagus. Kehadirannya ke kelab ini cukup membantu. Harap Safee dapat terus kekalkan prestasi baik seperti ini.

"Ternyata selepas Safee menjaringkan gol tersebut, ia telah meningkatkan semangat kami sepasukan.

"Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda, harap kehadiran Safee dapat menambah keyakinan mereka bagi mengharungi baki saingan liga," kata kapten Pelita Jaya, Ardan Aras ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan kelmarin.

Ardan yang beraksi di posisi pertahanan turut memuji kekebalan dua pertahanan import yang baru diambil minggu lalu iaitu Christopher Ross Doig dan Troy Hearfied.

"Selain Safee, kehadiran dua tonggak baru di bahagian pertahanan ini juga sesuatu yang penting kerana mereka berjaya menyekat jentera serangan Sriwijaya FC dengan cukup baik," ujar Ardan.

Sementara itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim ternyata lega kerana bekas penyerang Selangor itu berjaya melepasi ujian sulungnya namun mengingatkan Safee supaya tidak cepat leka.

"Pada perlawanan pertama ini, Safee sepatutnya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol. Apa pun saya harap Safee tidak hanyut dengan pujian.

"Dia perlu fokus perlawanan akan datang kerana saingan musim ini masih berbaki 13 perlawanan," kata Zakaria.

Perlawanan ke-16 bagi Pelita Jaya pada Sabtu ini ialah berdepan Persib Bandung di gelanggang sendiri.

No comments

Powered by Blogger.