Sebutan tuntutan fasakh RM400 juta menantu Taib Mahmud 24 Mac

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Sebutan tuntutan fasakh Datin Seri Shahnaz Abdul Majid, menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ditetapkan pada 24 Mac ini oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Rafie Mohd Shafie yang mewakili Shahnaz selaku plaintif memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menghantar surat saman tersebut kepada defendan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

Menurut beliau, saman itu telah dihantar ke rumah Mahmud Abu Bekir di No. 8, Duta Nusantara, Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Duta di sini, pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, defendan yang merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak itu tidak hadir hari ini.

“Saman tersebut telah dihantar tetapi tidak diserahkan kepada defendan sendiri di mana ketika itu pembantu rumah yang menerimanya.

“Oleh demikian kami memohon supaya saman itu dihantar melalui surat berdaftar yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah,” kata Rafie.

Mohd Amirul Adam bagaimanapun tidak membenarkan permohonan Rafie selagi plaintif tidak memfailkan afidavit berhubung tuntutan perkara itu.

“Sepatutnya failkan afidavit terdahulu, selepas itu baru saya boleh mempertimbangkan apa-apa permohonan,” kata hakim itu.

Rafie, kemudian memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan afidavit itu dalam masa terdekat.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Rafie memberitahu, Shahnaz, 48, telah memfailkan tuntutan fasakh tersebut pada 22 Februari lalu dengan mendakwa defendan gagal menjalankan tugas sebagai suami yang tidak memberikan nafkah batin sejak 2001.

Dalam tuntutan itu, Shahnaz yang merupakan kakak kepada penyanyi Datuk Sheila Majid, mendakwa defendan melakukan penderaan secara fizikal dan mental dengan menumbuknya di bahagian muka, kepala dan mata sehingga lebam, selain turut menendang rusuk dan mencekiknya.

Selain itu, Shahnaz mendakwa suaminya suka memaki hamun dengan menggunakan perkataan kesat terhadapnya menyebabkan dirinya tertekan, aib dan mengalami gangguan emosi.

Shahnaz, turut mengemukakan tuntutan mutaah sebanyak RM300 juta dan harta sepencarian bernilai RM100 juta terhadap ahli perniagaan itu.

Plaintif menyatakan jumlah tuntutan tersebut adalah munasabah kerana mereka telah berkahwin lebih 19 tahun dan menyatakan defendan mempunyai pendapatan serta harta-harta yang mencecah berbilion ringgit.

Plaintif juga memohon aset-aset milik defendan seperti tujuh buah kereta mewah, beribu hektar tanah di Sarawak dan saham di dalam 15 syarikat diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Beliau turut menuntut sebanyak 50 peratus ke atas semua harta-harta itu, selain lain-lain perintah atau relief atau apa-apa yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Jan 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud, 18. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.