Teruskan bersahabat dengan Muzammil - Tuan Ibrahim

Harakahdaily

http://harakahdaily.net/v2/images/stories/kerdau_merlimau/p3.jpg

TEMERLOH, 5 Mac: PAS meminta ahli-ahlinya di Felda Jengka 25 terus bersahabat dengan Muzammil Alif yang dilaporkan kembali menyertai Umno setelah tiga hari meninggalkan parti itu.

Sebelum ini Muzammil yang merupakan bekas Ketua Cawangan Umno Jengka 25 telah mengumumkan menyertai PAS pada 2 Mac lalu.

"Teruskan menjaga hubungan peribadi dengan beliau, malah hubungan dengan semua ahli Umno di Jengka 25 harus dipelihara kerana perjuangan kita tidak habis di dunia, bahkan akan dinilai Allah di akhirat," kata Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang akhbar lewat petang tadi (gambar).

Mengulas berita kemasukan semula Muzammil dalam Umno hari ini, Tuan Ibrahim berkata apa yang berlaku itu di luar kawalan parti yang sememangnya bergantung kepada keikhlasan setiap ahli.

Katanya, sewaktu Muzammil menyatakan hasratnya untuk menyertai PAS baru-baru ini, PAS telah berbesar hati sehingga Presiden PAS sendiri telah ke rumahnya untuk menerima borang kemasukan beliau.

Tetapi katanya, beliau tidak menyangka keberanian beliau (menyertai PAS) hanya bertahan selama tiga hari sahaja.

"Perjuangan sebagai pembangkang di negara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasti akan melului kesusahan dan keperitan dan tidak semua yang mampu menghadapi tekanan sebegitu demi rakyat dan agama," kata beliau.

Sehubungan itu kata Tuan Ibrahim perjuangan PAS khususnya di Kerdau akan tetap diteruskan tanpa Muzammil.

"Perjuangan membela rakyat tertindas dan kegagalan pengurusan dalam Dun Kerdau merupakan agenda besar yang tidak akan terpadam dengan hanya seorang yang keluar semula menyertai PAS," kata beliau.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut menafikan laporan media khususnya melalui blog kononnya Muzammil tidak pernah menyertai PAS tetapi cerita itu direka-reka untuk tujuan tertentu.

Justeru dalam sidang akhbar itu beliau menunjukkan borang keahlian PAS yang diisi oleh Muzammil sewaktu menyertai PAS sebelum ini.

Malahan kata Tuan Ibrahim, penyertaan itu turut disertai oleh 11 lagi ahli Umno Jengka 25, bukannya Muzammil seorang seperti digambarkan oleh penulis blog.

"Saya tidak berhasrat mendedahkan nama mereka, tetapi ini borang penyertaannya, ada di antara mereka merupakan veteran Umno," kata beliau sambil menunjukkan borang-borang keahlian PAS itu kepada media.

No comments

Powered by Blogger.