Tiada jaminan harga minyak kekal

TENOM: Tiada jaminan harga minyak ketika ini tidak akan dinaikkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) termasuk selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), kata Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah, Datuk Halik Zaman.

“Memanglah Perdana Menteri, (Datuk Seri) Najib Razak berani cakap hari ini (kerajaan) tidak akan menaikkan harga minyak petrol, tetapi beliau tidak berani bagi jaminan bahawa harga minyak juga tidak akan naik selepas PRU 13,” kata Halik dalam satu taklimat kepada ahli baru KEADILAN di Tenom hujung Februari lalu.

Beliau yang memegang portfolio Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat KEADILAN di negeri itu mengulas keputusan kerajaan Persekutuan bahawa tiada kenaikan harga minyak buat masa ini.

Keputusan itu diumum Najib dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 25 Februari lalu.

Memetik laporan media, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan buat masa ini tidak ada cadangan untuk menaikkan harga petrol RON95.

“Kita akan memantau…bermakna saya tidak boleh hendak kata apa-apa dari segi pada masa akan datang. Saya kata buat masa ini, kita (kerajaan) tidak ada cadangan untuk menaikkan harga minyak (RON95),” katanya dipetik.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 Februari lalu mengumumkan harga semasa bagi petrol RON95 pada RM1.90. Harga ini meningkat lima sen pada Disember lalu.

Mengulas lanjut, Halik yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tenom berkata, tindakan kerajaan yang sehingga kini enggan menurunkan harga minyak membuktikan kepimpinan Umno BN berterusan menzalimi rakyat yang majoritinya kekal di paras kemiskinan di negara ini.

“Pimpinan Umno BN mesti faham kos sara hidup di pedalaman begitu tinggi dan tiada sebarang usaha dari kerajaan Persekutuan untuk menurunkannya kerana mereka tidak merasai apa (kesusahan) yang rakyat rasakan,” ujarnya kepada Keadilan Daily.com.

Halik dalam majlis itu turut menyentuh berhubung isu hak tanah adat di daerah itu yang sehingga kini gagal diselesaikan kerajaan negeri.

Parlimen Tenom dikategorikan sebagai kawasan pedalaman dan pada PRU lalu, kawasan itu dimenangi seratus peratus Umno BN.

Namun, sejak Halik menerajui Cabang tersebut, beratus-ratus penduduk di kawasan itu kian berani meninggalkan Umno BN untuk bersama KEADILAN.

Setakat Januari lalu, seramai 383 ahli Umno BN sudah menyertai KEADILAN dan jumlah itu bakal bertambah dari semasa ke semasa.

No comments

Powered by Blogger.