Nazri: Jangan pecat Dr. M, biar kekal penasihat Petronas

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak harus dipecat atau dibuang daripada jawatannya sebagai penasihat Petronas dan Proton meskipun beliau telah keluar daripada Umno bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, selaku bekas Perdana Menteri beliau sewajarnya dibiarkan menyandang kedudukan tersebut.

"Biarkan beliau kekal (sebagai penasihat Petronas dan Proton). Jika beliau beranggapan bahawa boleh menyumbang tenaga selaku penasihat beliau harus berbuat demikian atau jika mahu memusnahkan (kerajaan) dengan mengecam, terserah kepada beliau (sama ada mahu kekal atau tidak)," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga berpendapat bahawa adalah tidak wajar kerajaan membuang atau memecat beliau daripada jawatan tersebut.

"Tidak bagus bagi kerajaan memecat beliau. Terserah kepada rakyat untuk membuat penilaian dan pertimbangan (dengan tindakan Dr. Mahathir mengecam parti dan kepimpinan negara sejak kebelakangan)," katanya.

Nazri mengulas laporan media yang memetik Dr. Mahathur semalam, yang menegaskan beliau tidak akan melepaskan kedudukan beliau dalam beberapa syarikat dan badan kerajaan, termasuk sebagai penasihat Petronas dan Proton - jawatan yang disandang sejak berundur daripada jawatan Perdana Menteri lima tahun lalu.

"Saya tidak nampak sebab mengapa saya perlu melepaskan jawatan itu. Saya lebih suka ditendang (dipecat)," kata Dr. Mahathir sambil menambah, jawatan-jawatan berkenaan tidak kena-mengena dengan kedudukannya yang kini bukan lagi ahli Umno.

Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar daripada Umno pada 19 Mei lalu.

Majlis Tertinggi Umno telah menerima keputusan beliau untuk keluar parti tetapi beliau boleh kembali ke pangkuan parti jika berhasrat untuk berbuat pada masa depan.

Kata Dr. Mahathir, mengikut tradisi, bekas Perdana Menteri memegang jawatan dalam syarikat dan badan-badan kerajaan dan ia tidak mempunyai kaitan dengan keahlian dalam Umno.

Dr. Mahathir juga merupakan Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, yang ditubuhkan selepas beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob meminta Datuk Mokhzani Mahathir yang turut mengumumkan keluar daripada Umno minggu lepas, supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas alasan jawatan itu adalah hak kerajaan.

Malah semalam, Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman juga meminta Mokhzani melepaskan jawatan itu.

mstar...

No comments

Powered by Blogger.