pak BODOHlah

Mesyuarat Majlis Inflasi petang, Pak Lah umum strategi kurang beban?
09-06-2008 02:16:13 PM
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Inflasi Negara petang ini, dipercayai disusuli dengan pengumuman strategi-strategi mengurangkan beban rakyat jelata.

mStar Online difahamkan mesyuarat yang dijadual berlangsung di Putrajaya dijangka membincangkan kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia serta petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan Rabu lalu.

Majlis Inflasi Negara yang baru ditubuhkan dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta.

Pagi tadi Abdullah telah menyampaikan ucaptama pada Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-13 di sini.

Pada Jumaat lalu, Abdullah berkata, kerajaan akan mengumumkan empat langkah penting awal minggu depan, kemungkinan esok, bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna berikutan peningkatan ketara harga minyak dan tarif elektrik.

Empat langkah penting itu melibatkan langkah-langkah penjimatan oleh jabatan dan agensi kerajaan, meningkatkan jaringan keselamatan sosial bagi rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya.

Selain itu, kerajaan akan menambah senarai barangan kawalan untuk mengekalkan kos yang rendah dan meningkatkan bilangan pengangkutan awam seperti bas di jalan.

Di bawah penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas, harga petrol naik sebanyak 78 sen seliter menjadi RM2.70 seliter dan diesel pula naik RM1 seliter kepada RM2.58 seliter.

Bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal.

Kelmarin, harga minyak mentah dunia mengalami kenaikan tertinggi dalam sehari sebanyak AS$10.75 (RM34.93) untuk mencatat rekod baru AS$138.54 setong (RM450.25) walaupun ia menurun sedikit pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat pula akan mengadakan mesyuarat mereka hari ini - dijangka membincangkan tindakan-tindakan tertentu ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengemukakan syor-syor kepada pemimpin-pemimpin barisan pembangkang itu yang akan bersidang hari ini.

Pada sidang di sini semalam, kata Anwar, mesyuarat itu akan berlangsung malam ini.

Sehubungan itu, kata beliau, tindakan bantahan tidak harus diambil secara bergopoh dan tidak wajar diputuskan oleh segelintir pihak sahaja, tetapi ia memerlukan keputusan muafakat.

"Saya prihatin dengan kegelisahan yang saudara saudari luahkan, namun tindakan harus berencana, tidak gopoh dan diputus oleh segelintir pihak semata.

"Keputusan harus diambil secara muafakat. Saya akan kemukakan kepada pimpinan Pakatan Rakyat yang akan bersidang Isnin ini insya-Allah," kata Anwar dalam tulisan blognya, mengulas tindakan bantahan yang disentuh oleh banyak pihak.

Dalam tulisannya itu beliau juga menyebut bahawa Petronas tidak wajar diserang dalam isu ini.

"Umumnya pengurusan dan tahap profesional mereka membanggakan. Isunya adalah pertanggungjawaban atau akauntabiliti," katanya.

mstar

No comments

Powered by Blogger.