Pakatan Rakyat komited turunkan harga minyak - Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah keras sikap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus mengabaikan tanggung jawab dan membebankan rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan semalam.

"Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau menyatakan kenaikan tersebut menyebabkan kehidupan rakyat semakin rumit yang akan merebak kepada kenaikan taraf elektrik, kos pengangkutan dan harga barang keperluan yang lain.

"Persoalannya keuntungan Petronas yang jenuh melimpah tertiris dan bocor ke mana? Tidak ada pertanggungjawaban waima kepada Parlimen sekalipun.

"Yang arif mengenai kedudukan kewangan Petronas hanya Perdana Menteri dan yang terserlah adalah projek mega dan koridor (ekonomi)!" katanya yaang membidas pembaziran wang rakyat oleh kerajaan.

Beliau menyatakan bahawa rakyat bukan sahaja dinafikan maklumat malah limpahan dan habuan dari khazanah utama negara tidak dirasakan tetapi manfaatnya hanyalah buat keluarga dan kroni yang sekonyong-konyong dianugerah kontrak dan projek.

"Inilah yang kami sering ungkapkan sebagai pengurusan ekonomi yang lembab dan tidak bertanggungjawab. Amalan hidup pimpinan negara terus boros, pembaziran dan rasuah terus berleluasa.

"Setelah gagal mengurus ekonomi dan menjamin keselesaan hidup rakyat, pimpinan Umno-BN seharusnya berundur!" katanya

No comments

Powered by Blogger.