PROTES SEJUTA RAKYAT, 5 JULAI 2008, SABTU, JAM 3.00 PETANG, KLCC

PROTES dengan ini ingin memaklumkan bahawa beberapa pindaan, perubahan dan ketetapan baru telah diambil selepas persetujuan dicapai di dalam Mesyuarat Gabungan MemPROTES Kenaikan Harga Minyak [PROTES] yang berlangsung pada petang kelmarin, 12 Jun 2008,2.00 petang di Bangunan PAS Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Bagi menjelaskan kekeliruan maklumat yang berlaku sebelum kenyataan media ini dan mengambil kira maklumbalas kemarahan rakyat di seluruh negara atas gesaan serta harapan rakyat agar Himpunan Aman PROTES Seratus Ribu Rakyat yang awalnya telah dijadualkan pada 12 Julai 2008 maka dengan ini PROTES ingin memaklumkan bahawa :

1. Tarikh Bagi Perhimpunan Tersebut DISEGERAKAN Ke Tarikh Baru Iaitu 5 JULAI 2008, SABTU, 3.00 PETANG, DI KLCC.

2. PROTES Telah Menetapkan Sasaran Barunya Iaitu Sejuta Orang Peserta. Justeru PROTES Menamakan Himpunan Tersebut Sebagai HIMPUNAN AMAN PROTES SEJUTA RAKYAT.

3. Warna Tema Yang Dipilih Bagi Himpunan Tersebut Ialah Merah Sebagai Simbol Kemarahan Dan PROTES Rakyat.

4. Logo Rasmi Terbaru PROTES (Sebagai Simbol Kesatuan Rakyat) Akan Dilancarkan Pada 18 Jun 2008 Untuk Digunapakai Pada Setiap Peralatan/ Bahan PROTES Bersempena Himpunan PROTES SEJUTA RAKYAT 5 Julai 2008 nanti.

PROTES seterusnya menyeru kepada seluruh jentera parti dan badan-badan bukan kerajaan yang sudah dan belum bergabung di dalam PROTES terus menggerakkan kesedaran rakyat di seluruh negara agar turun beramai-ramai bagi menyertai “Himpunan Aman PROTES Sejuta Rakyat” pada 5 Julai 2008 yang akan datang.

Sebagai penganjur perhimpunan aman yang bertanggungjawab, PROTES kini dalam rangka perbincangan hal-hal teknikal bagi memastikan kelancaran perjalanan perhimpunan tersebut.

Sehubungan dengan itu, PROTES akan memaklumkan kepada rakyat dalam tempoh terdekat laluan-laluan dan tempat-tempat letak kenderaan khususnya rombongan peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur. Adalah juga dinasihati agar para peserta yang berada di sekitar Lembah Kelang menggunakan pengangkutan awam dari tempat masing-masing untuk ke KLCC pada hari berkenaan.

PROTES berharap pihak polis akan memberi kerjasama dalam menjayakan perhimpunan aman ini. Dengan ini juga, PROTES ingin menyatakan kesediaan kami untuk berbincang dengan pihak polis bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku.

PROTES berpendirian bahawa hak berhimpun dan meluahkan perasaan adalah hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 10. Kami berharap semua pihak akan bekerjasama dan memastikan hak perlembagaan ini dihormati.

Akhirnya, PROTES menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar turut serta menjayakan “Himpunan Aman Rakyat PROTES Sejuta Rakyat” ini.

Sebarang pertanyaan berhubung bolehlah dimajukan kepada Sekretariat PROTES di alamat emel : protes2008@gmail.com . Maklumat berkaitan PROTES juga boleh diperolehi daripada www.protes2008.blogspot.com .


Hormat Daripada,

GABUNGAN MEMBANTAH KENAIKAN HARGA BARANG [PROTES]



DR. MOHD. HATTA B. HJ. RAMLI
Koordinator

13 Jun 2008, Juma’at
Kuala Lumpur

No comments

Powered by Blogger.