'Aset saya belum sampai RM50 juta' - Siti Nurhaliza
BUKANLAH satu perkara yang mengejutkan apabila ramai yang baru-baru ini memperkatakan tentang nilai aset penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang dilaporkan mencecah RM50 juta dan tersenarai antara tiga artis terkaya di Asia Tenggara.
Tidak tahulah dari mana sumber tersebut diperolehi seperti yang dilaporkan menerusi laman web MTV Asia Awards itu. Namun begitu, melihat kepada pencapaian penyanyi ini sepanjang lebih 10 tahun bergelar artis, tidak mustahil Siti mampu mengumpul aset sebanyak itu.
Diajukan soalan itu ketika ditemui pada rakaman program Eksklusif...Siti Nurhaliza Anggun... Aksi Siti sebelum memulakan rakaman program 'Eksklusif...Siti Nurhaliza Bersama Peminat'
Bersama Peminat di RTM baru-baru ini, diva berusia 29 tahun ini hanya tersenyum sambil menjawab:
(Foto The Star oleh Glenn Guan)
"Tidaklah sampai RM50 juta lagi seperti yang dilaporkan laman web tersebut.
"Tapi, saya berdoa biarlah masin mulut orang yang berkata begitu supaya saya boleh sampai ke tahap itu.
"Sehingga hari ini saya masih berusaha untuk dapatkan lebih pendapatan. Ada juga perancangan-perancangan lain sebagai back-up untuk masa depan.
"Tapi, RM50 juta tu tak betul lah..," kata isteri kepada ahli peniagaan Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K ini, ringkas.
Lebih senang berbicara mengenai karier seni, kata Siti, buat masa ini dia sedang 'mengintai' peluang untuk mengadakan konsert amal pada tahun ini dan segalanya masih lagi di dalam peringkat perbincangan.
"SNP (Siti Nurhaliza Productions) sudah sediakan proposal dan sedang berbincang dengan penaja. Harap-harap jika ada rezeki, dapatlah buat pada tahun ini juga.
"Saya pun tidaklah mengharapkan lokasi yang besar. Kalau dapat, itu satu bonus. Tetapi jika tidak, dapat buat secara majlis dinner pun sudah cukup bagus.
"Mungkin untuk dinner, kita akan lakukan dalam dua bahagian, yang mana bahagian pertama untuk mereka yang membeli meja dan kedua pula untuk peminat-peminat," tutur wanita kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.
Namun begitu, kata Siti, kerinduan untuk berhibur bersama peminat-peminat terubat juga menerusi program Eksklusif...Siti Nurhaliza Bersama Peminat yang akan disiarkan di RTM pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Program berkonsepkan santai itu menampilkan kelainan tersendiri, hasil cetusan idea RTM bersama SNP sendiri.
Siti turut mengundang golongan kanak-kanak sebagai tetamu program tersebut
"Program ini bukan berkonsepkan Hari Raya 100 peratus. Saya hanya bawakan satu saja lagu raya dan selebihnya adalah lagu-lagu pop, lagu lama dan sebuah lagu Indonesia.
"Apa yang istimewanya program ini ialah kelainan dari segi tetamu yang diundang. Penonton-penonton terdiri daripada warga emas, kanak-kanak istimewa, pasukan PDRM, jururawat, bomba, askar dan beberapa pasukan pertahanan yang lain.
"Selama ini memang saya tidak pernah terfikir idea seperti ini, sehinggalah RTM memberi cadangan," kata Siti yang menyampaikan kira-kira sembilan buah lagu antaranya Ku Mahu, Sesuci Lebaran, Biarlah Rahsia, Bukan Cinta Biasa, Penawar Rindu dan Ketahuan.
Salah seorang warga emas yang tidak melepaskan peluang berjoget bersama Siti |
Malah, Siti juga bijak melayani karenah dan keletah anak-anak kecil serta warga emas yang diundang.
Ditanya mengenai kehidupannya kini sebagai isteri setelah usia perkahwinannya akan genap dua tahun pada 21 Ogos ini, Siti hanya melafazkan kata syukur kerana dikurniakan kebahagiaan yang berterusan.
"Alhamdulillah, saya banyak belajar dari pemerhatian sekeliling. Macam biasa, dalam rumahtangga kenalah ada tolak ansur. Kalau ada perselisihan faham, seorang kenalah mengalah.
"Kalau salah seorang sedang marah, janganlah ditambahkan lagi kemarahannya," kata Siti yang akan menyambut kedatangan Ramadan di Mekah kerana bakal mengerjakan umrah selama seminggu mulai awal Ramadan yang akan turut disertai oleh suami dan ibu mertuanya.
Dalam perkembangan lain, Siti juga masih menanti untuk memulakan rakaman album terbarunya yang berkonsepkan Kontemporari Melayu.
Album tersebut merupakan projek khas Siti dengan komposer pilihan yang diinspirasikan melalui Kem Cipta Ekspress anjuran MACP pada Januari lalu.
Antara komposer yang bekerjasama untuk album ini adalah M.Nasir, Zubir Ali, Adnan Abu Hassan, S. Atan, Pak Ngah dan Radhi OAG.
No comments
Post a Comment