Buku 'Mutiara Dua Tok Guru' berharga RM25 dibida RM1,000
IPOH, 16 Ogos (Hrkh) - Senaskah buku berjudul 'Mutiara Dua Tok Guru' yang telah ditandatangani oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berjaya dibida pada harga tertinggi RM1,000.00 pagi ini.
Seorang perwakilan Dewan Ulama, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, berjaya membidanya setelah berlawan dengan beberapa pembida lain sejurus buku tersebut dilancarkan oleh Dr. Haron pada Muktamar Tahunan PAS ke-54 yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Wang jualan buku tersebut akan disalurkan kepada tabung sumbangan PAS Pusat bagi tujuan membiayai kegiatan parti diperingkat Pusat. Ketika Ustaz Nik Zawawi menerima buku tersebut di pentas, dewan digamatkan laungan takbir.
Sebelum itu, naskah buku yang ditandatangani oleh Dr Haron, telah diumum oleh Timbalan Pengerusi Tetap, Husein Ismail untuk dilelong pada harga terendah RM50 kepada semua perwakilan dan kepimpinan parti. Buku setebal 280 muka surat adalah karangan Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam ucapan ringkas promosi buku tersebut, Dr Haron memuji keistimewaan buku itu yang disifatnya sebagai amat sesuai dijadikan rujukan para da'ie yang gigih berdakwah. Ujarnya, kandungan buku itu selaras dengan tuntutan hidup politik semasa.
"Buku 'Mutiara Dua Tok Guru', saya lihat benar-benar merupakan mutiara yang bermutu. Anda akan rugi jika tidak membelinya. Anda juga tidak akan menemukan dua pandangan daripada dua Tok Guru, Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden tentang perjuangan PAS. Seruannya, kata-katanya, tulisannya daripada orang yang mengajak kita kepada Allah SWT. Mereka melaksanakan amalan-amalan yang soleh," terangnya.
Buku 'Mutiara Dua Tok Guru' diterbitkan oleh Nufair Street Sdn. Bhd. dan dijual pada harga RM25.00 di Semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak, buku itu dijual pada harga RM27.00. Dalam tinjauan Harakahdaily, buku tersebut banyak dijual di gerai-gerai pameran di luar stadium dan menjadi buku pilihan pengunjung.- (tmj)
No comments
Post a Comment