Doa untuk Pakatan Rakyat

Kira-kira jam 5.30 petang saya menerima panggilan telefon dari pondok polis yang menjaga pintu masuk utama kediaman mengatakan ada tetamu yang datang ingin berjumpa dengan suami. Saya berasa tertanya-tanya siapakah yang datang kerana suami masih belum pulang dari pejabat dan beliau juga tidak ada menelefon memberitahu akan kehadiran sesiapa ke kediaman.

Saya meminta bantuan dari anak untuk mendapatkan kepastian siapakah yang hadir untuk bertemu suami. Setelah membuka pintu rupa-rupanya yang berkunjung ialah sahabat lama saya dan suami ketika menetap di Kuala Lumpur antara tahun 1984 hingga 1993. Saya menjemput mereka masuk dan berbual hampir 15 minit sebelum suami tiba di kediaman. Rupa-rupanya suami tidak berkesempatan masa untuk menelefon memberitahu akan kehadiran mereka sedangkan suami telah maklum.

Rancak juga kami berbual kenangan lama dan perkembangan terkini. Hampir waktu Maghrib mereka berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, malam ini semua dapat berkumpul untuk makan malam bersama. Sesudah makan malam kami anak beranak rancak berbual tentang keadaan semasa. Suami menceritakan tentang hal rakan-rakan bertanyakan kepada beliau mengenai ura-ura bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak akan tumbang pada 31 Ogos 2008. Beritanya, Kerajaan Barisan Nasional sedang merancang dan mengatur 'projek' untuk merampas kembali kerajaan Perak.

Suami secara berseloroh menjawab angka 31 itu sangat bermakna kepada Pakatan Rakyat di Perak kerana 31 itulah bilangan ADUN Pakatan Rakyat dan 31 Ogos adalah tarikh kemerdekaan negara yang sepatutnya lebih dijiwai oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang sudah 50 tahun memerintah negara. Sepatutnya mereka dapat menerima hakikat bahawa rakyat sudah menolak kepimpinan mereka dan memilih pemimpin dari parti lain untuk memimpin rakyat Perak.

Suami berpesan supaya saya menyampaikan kepada semua terutama rakyat-rakyat Perak sentiasa berdoa agar Allah bersama mereka-mereka yang benar. Banyakkan solat hajat.

Saya dan anak-anak akan sentiasa menyokong dan berdoa untuk suami dan seluruh kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat agar sentiasa dalam lindungan dan rahmat dariNya.

http://datinserifatimah.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.