JAWAPAN TUN M PASAL BELAJAR SAINS&MAT DALAM BI

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.

2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.

3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

4. Kita diberitahu Nabi bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?

5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.

6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada "di zaman gelap", zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.

7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.

8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.

9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.

10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.

11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.

12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.

13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.

14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.

15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.

16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.

17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.

18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.

19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.

21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.

22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

INI JAWAPAN PILIHAN DARI KERABU

PENDIDIKAN PRAKTIKAL
Pendidikan yang tepat adalah pendidikan yang dilaksanakan untuk mendidik hakikat diri manusia itu sendiri iaitu roh, juga disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science). Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina akal, nafsu dan roh manusia. Pendidikan ini sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendidikan Barat yang hanya menumpukan pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Maka lahirlah manusia yang tidak seimbang antara pembangunan akal, roh dan nafsunya.

Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa agar memulakan didikan dengan menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun menunaikan sembahyang. Ertinya, didikan secara praktikal sudah bermula sejak usia tujuh tahun. Malah ibu bapa wajib memukul anak-anak jika mereka mencuaikan sembahyang apabila telah mencapai usia sepuluh tahun. Persoalan sembahyang adalah tanggungjawab yang berat yang telah diamanahkan kepada ibu bapa.

Oleh kerana persoalan sembahyang itu amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga tanpa mengecualikan anak kecil kerana ia sangat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Kalau sembahyang tidak dapat didisiplinkan, kehidupan keluarga akan menjadi kucar-kacir dan berterabur. Sembahyang yang disusun atur dan diprogramkan secara berjemaah merupakan satu cara terbaik untuk mendidik anak-anak kerana ia mendedahkan mereka kepada perkara yang dipandang tinggi, besar dan agung oleh Rasulullah SAW dan oleh Allah SWT. Inilah kaedah yang paling tepat dalam memulakan didikan.

Mari kita lihat bagaimana masyarakat Australia mengajar anak-anak mereka untuk hidup supaya menjadi bangsa yang maju dan dirancang untuk menguasai ekonomi dan dunia. Pelajar-pelajar sekolah dasar dibekalkan kek cawan (cup cake) untuk dijual ketika keluar dari rumah menuju ke sekolah. Manakala pelajar-pelajar sekolah menengah pula diajar supaya berdikari dengan bekerja di pejabat-pejabat setelah tamat waktu pengajian. Malah mereka disokong pula oleh majikan-majikan premis di tempat mereka bekerja secara sambilan (part-time). Mereka telah memulakan proses pembinaan bangsa sejak kecil lagi. Berbeza dengan fenomena yang berlaku di Malaysia, siswazah-siswazah universiti yang mengambil bidang pertanian dan ekonomi contohnya, mereka masih belum tahu apa itu pemasaran (marketing). Bangsa Cina di Malaysia telah menguasai tampuk ekonomi negara. Mereka juga mengajar anak-anak mereka berniaga secara kecil-kecilan sejak kecil lagi.

Sebenarnya, inilah yang perlu diterapkan pada para pelajar melalui kursus praktikal di dalam atau luar negara. Barulah mereka tahu bagaimana bangsa yang maju melatih anak bangsanya. Bermula dan situ, bukan saja pelajar dapat menguasai ilmu melalui pendidikan praktikal malah pendidik dapat mencungkil sifat-sifat positif dan negatif yang tercetus ketika pendidikan praktikal sedang dilaksanakan. Barulah pendidik boleh mengenal dan mendidik nafsu, akal dan roh mereka.

Sebab itu, kita dapat saksikan umat Islam di dunia yang mempunyai 40 buah negara pun tidak kuat ekonomi, ketenteraan dan politiknya. Mengapa perkara sebesar sistem pendidikan bagi umat Islam yang boleh memperkasakan umat Islam tidak dikaji? Sepatutnya OIC bersidang untuk memikirkan dan menyelesaikan masalah ini. Bukan sekadar memikirkan tentang minyak dan perkara yang remeh-temeh sahaja.



No comments

Powered by Blogger.