KITA KUBURKAN BN!!!!!

Media BN perbodoh rakyat Permatang Pauh dengan isu pembangunan

Di mana cerdiknya Barisan Nasional jika ia mengharapkan manipulasi isu-isu pembangunan di kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh akan memberi keuntungan kepada kempennya? Semata-mata kerana kawasan itu diwakili pemimpin pembangkang sejak lebih dua penggal lalu, tidak bermakna rakyat akan terlupa hakikat bahawa Pulau Pinang adalah negeri diperintah BN sejak lebih 30 tahun lalu.

Bukan juga suatu yang luar biasa di negara kita betapa dua penggal perkhidmatan tidak menjamin seseorang wakil rakyat dapat menyelesaikan semua masalah rakyatnya. Apatah lagi beberapa perkara berkaitan kehidupan rakyat, terutama membabitkan pembangunan infrastruktur, tidak mampu disediakan sesempurnanya oleh seorang wakil rakyat di atas belanja sendiri. Sebaliknya ia memerlukan dokongan pelaksanaannya daripada sebauh kerajaan.

Belum pun proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini dilangsungkan, media-media dikuasai kroni BN nampaknya telah mula menunjukkan taring menjayakan propaganda parti pemerintah itu. Apa yang dipaparkan sebuah stesen tv swasta malam tadi (Jumaat) boleh dijadikan contoh.

Stesen TV9 menerusi slot berita jam 8 malam memaparkan antara lain rintihan dan keluhan penduduk sebuah kampung dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh. Beberapa penduduk Kampung Mengkuang Titi ditemubual. Mereka meluahkan rasa terkilan dan kecewa kerana mendakwa telah hidup di situ lebih 35 tahun, tetapi masih belum mendapat bekalan air bersih.

Meski pun sudah dijangkakan, pendedahan sebegitu agak memalukan. Kini seluruh negara tahu rupa-rupanya setelah lebih 50 tahun negara merdeka dan rakyat hidup di bawah naungan kerajaan BN, masih ada kampung di negeri antara termaju dalam negara yang selama ini diperintah BN belum mendapat bekalan air bersih.

Dapat pula kita bayangkan bagaimana nanti sekiranya beberapa negeri yang kini masih diperintah BN, pada suatu ketika nanti andainya berjaya diambilalih Pakatan Rakyat, nescaya ketika itu akan serta-merta disiarkanlah segala kesengsaraan hidup mereka.

Itulan nasib penduduk di negeri yang kini jatuh ke tangan PR. Mereka seolah-olah secara tiba-tiba menjadi susah dan hidup melarat apabila kerajaan negeri bertukar tangan. Media kroni BN pula tiba-tiba menjadi sangat prihatin terhadap permasalahan mereka.

Laporan TV9 mengenai nasib penduduk Mengkuang Titi itu menyebut mereka terpaksa menggunakan motor elektrik bagi mengepam air bawah tanah sejak menduduki kampung berkenaan.

Kebelakangan ini pula, air yang dipam itu sudah tercemar, termasuk berbau busuk dan ada kesan minyak serta berkarat. Laporan itu menyebut lagi hal itu menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih RM200 untuk membeli air mineral bagi kegunaan harian, terutama untuk meminum dan memasak.

Nampak sangat laporan tersebut bermaksud mengaitkan kesengsaraan penduduk itu dengan kegagalan bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan membela nasib mereka, bukan?

Bagaimana pun kita rasa rakyat sudah matang. Rasionalkan saja isu ini dengan menanyakan beberapa soalan mudah.

Pertama, apakah tugas menyambung bekalan air bersih ke setiap rumah penduduk itu tanggungjawab wakil rakyat secara peribadi? Ataukah ia sebenarnya tanggungjawab pihak berwajib, terutama Jabatan Bekalan Air (JBA). Sebagai sebuah jabatan, sudah tentu ia tertakluk kepada bidang kuasa dan arahan oleh pihak berkuasa negeri.

Kedua, jika benar bagai dilaporkan bahawa penduduk kampung itu sudah mengalami masalah bekalan air bersih sejak lebih 35 tahun lalu, siapakah yang menguasai kerajaan negeri dalam tempoh berkenaan?

Untuk rekod, Pulau Pinang diperintah Perikatan sejak negara merdeka. Ketua Menterinya adalah dari MCA. Ia bertukar tangan selepas Pilihan Raya 1969, apabila Gerakan mengambilalih. Itupun hanya untuk beberapa tahun sehingga BN ditubuhkan pada awal 1970-an dan Gerakan menyertai gabungan itu.

Pada pilihan raya 1974, Gerakan bertanding atas tiket BN. Kali kedua Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang ialah pada pilihan raya umum Mac lalu.

Bermakna jika diungkitkan masalah bekalan air itu telah berlanjutan dan gagal diselesaikan para pemimpin kawasan berkenaan sejak lebih 35 tahun lalu, tarikh itu mengembalikan perkiraan kepada era pemerintahan Gerakan sejak sebelum pilihan raya umum 1974 lagi.

Jangan lupa parti itu juga yang meneruskan kesinambungan pemerintahannya meski pun atas nama BN selepas 1974 itu. Maka, wajar dipersoalkan, apakah yang mereka telah buat dalam tempoh itu bagi menyelesaikan masalah penduduk Mengkuang Titi ini?

Hasrat media itu mengutarakan propaganda kempen untuk BN dijelaskan dengan kenyataan akhir laporan tersebut. Ia menyudahkan tinjauan khas itu dengan mendakwa kononnya para penduduk kampung berkenaan meletakkan harapan akan ada perubahan dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan 26 Ogos ini.

Sudah tentu yang dimaksudkan perubahan itu ialah agar pengundi kawasan berkenaan tidak mengekalkan penguasaan calon parti sama, iaitu Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang kini diwakili penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengambilkira rasional tadi, jika BN berhasrat memperbodohkan rakyat, terutamanya para pengundi di Permatang Pauh dengan memanipulasi isu pembangunan, tindakannya itu sebenarnya menyerlahkan lagi ketidak-cerdikan parti itu sendiri.

Kalau lebih 35 tahun di bawah naungannya BN gagal selesaikan, di mana wajarnya ia menyalahkan wakil rakyat kawasan itu sahaja? Lebih tidak munasabah jika BN turut mahu menyalahkan kerajaan negeri pimpinan DAP yang baru berusia 5 bulan kini.

Harakahdaily

No comments

Powered by Blogger.