Suara Blog
KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menjadi topik utama untuk ditulis oleh kebanyakan penulis blog.
Masing-masing menyuarakan pandangan peribadi berhubung kekalahan Barisan Nasional (BN) di tangan Pas pada pilihan raya kecil tersebut.
Bagi A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menunjukkan para pengundi masih marahkan BN.
Antara lain beliau menulis: "Jelas daripada keputusan Kuala Terengganu bahawa pemilihan calon dan penangan isu tempatan adalah kunci kejayaan dalam pilihan raya kecil.
"Nyata andaian umum mengenai ketidaksuaian calon BN apabila dia bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu sebaliknya kalah dengan teruk."
Penulis blog Dunia Tiger (duniatiger.blogspot.com), Ibrahim Yahya pula mengulas mengenai pandangan ramai berhubung faktor kekalahan BN di Kuala Terengganu.
"Bagi saya, mereka mempunyai jawapan tersendiri. Jawapan itu bergantung di tahap mana kedudukan mereka sama ada sebagai petugas parti, pemerhati, pengkaji dan penganalisis politik, mereka yang cari makan, pelobi politik, pencacai, pemimpin tulen ataupun 'pengarah' kempen tidak rasmi."
Bagi Big Dog Dotcom (bigdogdotcom.wordpress.com) pula, kekalahan BN di Kuala Terengganu telah merugikan rakyat negeri itu kerana mereka kehilangan dua kerusi timbalan menteri dalam Kabinet.
Ini kerana semasa hidup, Allahyarham Datuk Razali Ismail menjawat Timbalan Menteri Pelajaran, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
"Meletakkan Datuk Wan Farid sebagai calon P36 itu sudah memastikan Terengganu hanya mempunyai seorang Timbalan Menteri, sekiranya beliau menang."
Dr. Novandri Hasan Basri dalam blognya Minda Intelek Melayu mahukan kekalahan BN di Kuala Terengganu dikaji dengan mendalam oleh barisan kepimpinan BN dan UMNO.
Katanya, walau pun isu pilihan raya kecil berlainan mengikut isu tempatan dan setempat tetapi ia juga perlu diselidiki supaya BN akan lebih bersedia selepas ini.
"Secara peribadi, penulis berpendapat bahawa negeri-negeri Pantai Timur amat memerlukan imej seorang pemimpin rakyat yang seimbang daripada segi perwatakannya.
"Selain daripada kepandaian dunia, beliau wajib menonjol dari segi agamanya, rendah diri dan sanggup 'basahkan tangan' untuk mencuci pinggan dan mangkuk," katanya.
Penulis blog wanita, Nuraina A. Samad pula menyentuh mengenai ramalan media yang tidak tepat berhubung keputusan pilihan raya tersebut.
Dalam blognya nursamad.blogspot.com, beliau berkata, media-media rasmi meramalkan keputusannya adalah 50-50 sehinggalah di saat-saat akhir pengiraan undi dijalankan.
"Tetapi di peringkat akar umbi, ia jelas menampakkan kemenangan Pas. Merdeka Central meramalkan bahawa undi dari pengundi Cina akan berpihak kepada Pas."
Sementara itu Lin Ken Lim dalam blognya linkenlim.blogspot.com berkata, keputusan di Kuala Terengganu memberi gambaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, bakal Perdana Menteri itu telah kehilangan dua pilihan raya kecil dalam tempoh lima bulan dengan majoriti yang besar.
"Najib telah melakukan yang terbaik dan tumpuan sepenuhnya untuk BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Tetapi para pengundi di kawasan yang BN kuasai, mereka memilih Pas.
"Beliau buat banyak janji, melancarkan banyak projek dan menawarkan banyak perkara tetapi akhirnya pengundi menolak BN," katanya.
Di sebalik kehangatan keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui blognya Chedet.com pula menyentuh mengenai pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Labu, Negeri Sembilan.
Bekas Perdana Menteri ini memberikan beberapa fakta dan kenyataan bagi menjawab penjelasan AirAsia berhubung keperluan membina lapangan terbang baru itu.
Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebenarnya direka bentuk untuk memenuhi keperluan masa depan termasuk keperluan yang diperlukan oleh AirAsia sama ada dari segi kapasiti penumpang, lorong hentian pesawat dan juga jumlah pintu.
Penulis blog A.M. Ubaidah Sanusi dalam blognya, thoughtsintangents.blogspot.com pula menyentuh soal krisis di Genting Gaza dengan mengaitkan serangan Israel berkait rapat dengan pilihan raya negara Yahudi itu.
Blogger ini mula-mula memikirkan pemimpin rejim Israel, Ehud Olmert, tidak perlu mempopularkan diri sebagai 'pengganas' kerana beliau tidak akan terlibat lagi pada pilihan raya umum Israel 10 Februari ini.
Namun kini tercetus pula pemikiran yang mungkin peperangan ini akan digunakan beliau untuk kekal di tampuk kuasa. Selain itu, ada juga kemungkinan keganasan tersebut didalangi para perebut jawatan Perdana Menteri (PM) Israel yang lain.
No comments
Post a Comment