BERSAHABAT DENGAN JIN..???

(Kiriman Wan Azmi)


Sender's Name: XXXXXXXX
Sender's Email: XXXXXXXX@miricouncil.gov.my


PERTANYAAN: Saya mempunyai kawan jin sudah agak lama dan tidak tahu dari mana datangnya jin2 tersebut dan tujuan yang jelas kenapa makluk itu berkawan dengan saya. Tapi pernah berapa kali mereka ini menjelma dihadapan saya menceritakan tujuan mereka berkawan dengan saya adalah disebabkan perjanjian nenek moyang saya dengan mereka pada masa dahulu.


Masalahnya sekarang, saya hendak menhilangkan terus makluk ini dari diri saya. Lagi pun saya tidak tahu dan tidak pecaya dengan kelebihan yang ada pada makluk ini. Walaupun saya pernah diajar oleh makluk ini cara2 untuk menggunakan mereka, iaitu dengan hanya menyuruhkan mereka melakukan apa saja yang saya inginkan. Pernah saya mencuba, tapi yang saya takuti apakah ianya boleh menyebabkan saya syirik kepada Allah S.W.T. Kerana mengikut hukum, kita hanya boleh memohon pertolongan daripada Allah S.W.T sahaja.


Saya ingin meminta nasihat bagaimanakah caranya hendak menghilangkan atau menyuruh makluk ini pulang ke tempat asalnya. Terima Kasih.

JAWAPAN:

Berdasarkan cerita tuan, maksudnya jin-jin itu datang dengan sendirinya (kerana tuan tidak pernah pun menjemput mereka melalui upacara tertentu) kerana adanya janji yang terikat antara nenek moyang tuan dengan mereka suatu ketika dulu. Melalui perjanjian ini, biasanya jin-jin ini akan terus bersama dengan salah seorang daripada keturunan nenek moyang tuan. Jin jenis ini dinamakan ‘saka’.

Ada tidak ahli keluarga ataupun saudara mara tuan yang menghadapi masalah yang sama?


Kadang-kadang ada jenis jin yang menjaga keseluruhan keturunan itu tanpa perlu berteman dengan individu tertentu. Jika tidak ada, maksudnya mereka mahu berdamping dengan tuan sahaja.


MENJAUHKAN JIN SAKA

Jadi masalahnya sekarang adalah tuan hendak menghilangkan terus jin-jin ini daripada diri tuan. Ada beberapa cara, namun keberkesanannya bergantung juga kepada kedudukan kes yang berbeza-beza.

1. Tuan berubat kepada mereka yang ada kemahiran dalam hal berkaitan iaitu para perawat yang diyakini soleh.

2. Tuan jadikan diri seorang yang soleh dengan meningkatkan ilmu, iman dan amal. Cara begini dapat membantutkan minat jin-jin yang tidak soleh. Namun begitu, jika jin-jin yang datang itu daripada jenis muslim yang soleh juga, kemungkinan mereka akan lebih terpikat lagi.

3. Tuan boleh berunding dengan jin-jin tadi dan nyatakan ketidaksediaan untuk bersahabat dengan mereka dengan cara yang baik. Dalam sebahagian kes, ada jin-jin yang sedia bertolak ansur. Pernah seorang hamba Allah cuba diajak bersahabat oleh puteri jin dari kalangan bunian. Jin wanita ini memberi syarat agar mengibarkan sehelai kain (selensang) di tepi hutan dan menyeru namanya. Hamba Allah tadi tidak melakukannya dan dia bebas sampai sekarang tanpa gangguan. Masalahnya dalam kes tuan ini sudah wujud PERJANJIAN. Sefaham saya, jika ada perjanjian mereka sukar bertolak-ansur.

4. Jika mereka ada memberi syarat-syarat tertentu ataupun bacaan-bacaan serta amalan-amalan tertentu, jangan diamalkan. Ada jenis jin yang minta kita buat kenduri setahun sekali (contohnya), sekiranya tidak dibuat maka ia akan mengganggu ahli keluarga. Cuba tidak buat sekali, tengok dulu sejauh mana kemudaratan yang mampu ia lakukan. Kalau mudarat, cepat-cepat berubat (ya ...agak berisiko).

5. Tuan tidak perlu minta bantuan mereka. Buat tidak tahu saja.

6. Cuba cari kemungkinan ada barang-barang tertentu yang menjadi ‘tumpangan’ mereka seperti perhiasan lama, keris warisan, cucuk sanggul, kain tiga warna, bekas-bekas tembaga, kalong, barang-barang kemas turun-temurun ataupun selainnya. Minta bantuan orang-orang yang ahli untuk membuang benda-benda ini.


KELEBIHAN JIN

Tuan mengatakan ‘tidak tahu’ akan kelebihan jin-jin itu. Biasanya ada beberapa jenis:

1. Jenis yang mengawal keluarga
2. Jenis yang mengawal rumah, harta dan tanah seperti hantu raya
3. Jenis ahli silat
4. Jenis ahli perubatan seperti bidan, pawang buaya, tabib tradisional
5. Jenis belaan untuk mengenakan orang lain seperti pelesit, bajang, hantu raya


MEYAKINI KELEBIHAN JIN

Tuan juga tidak yakin dengan kelebihan-kelebihan makhluk ini. Sebenarnya makhluk-makhluk ini memang ada kelebihan tertentu mengikut bangsanya, sebagaimana yang Allah ciptakan. Ada yang jenis bodoh seperti haiwan dan ada yang jenis bijak seperti cendekiawan. Ada yang jenis lembik dan ada yang jenis gagah perkasa. Ada yang jenis lembab dan ada yang jenis pantas ke sana ke mari. Ada yang boleh menyamar, menjelmakan diri, pandai merawat menggunakan doa ataupun bahan-bahan daripada alam semulajadi, pandai bertempur, pandai membidan dan sebagainya.

Ringkasnya mereka sama seperti manusia dan haiwan cuma mereka tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Samalah seperti kuman-kuman yang tidak dapat dilihat tetapi diyakini mampu membawa mudarat dengan izin Allah. Begitu juga dengan kesan radiasi nuklear, arus elektrik pada wayar yang terputus dan virus yang sedang berpindah dari satu telefon bimbit ke satu telefon bimbit. Semuanya tidak dilihat dengan mata tetapi diyakini kemudaratan yang mampu dibawanya dengan izin Allah. Jika anjing yang boleh dilihat dengan mata itu mampu menyakiti kita dengan cara menggigit, maka ada jenis jin yang tidak dapat dilihat itu juga boleh menyakiti kita dengan cara menggigit. Namun semuanya bergantung kepada izin Tuhan kerana Dialah punca segala gerak (*hakikat).

Pernah ada seorang sahabat r.a. membunuh seekor ular tetapi kemudiannya sahabat itu juga mati menggelepar sebagaimana matinya si ular tadi. Rupa-rupanya ular itu ialah jin. Maksudnya ada jin-jin lain yang datang membalas dendam. Selepas kejadian itu Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabatnya mengusir sebanyak tiga kali sebelum membunuh mana-mana ular di Madinah.


PERTANYAAN KURANG JELAS

“Walaupun saya pernah diajar oleh makluk ini cara2 untuk menggunakan mereka dengan hanya menyuruhkan mereka melakukan apa saja yang saya ingin kan. Pernah saya mencuba tapi yang saya takuti apakah ianya boleh menyebabkan saya syirik kepada Allah S.W.T.”

Bahagian ini agak umum pada saya. Sekiranya tidak keberatan, mungkin tuan boleh ceritakan ‘cara-cara’ tersebut dan ‘apa yang mereka mampu lakukan untuk kita’. Juga pengalaman tuan ‘cuba’ menggunakan mereka tempoh hari.


MASALAH SYIRIK

Umumnya ‘meminta bantuan jin’ dihukum syirik. Namun bagi saya ia bukanlah ‘pasti’ 100% syirik. Contohnya orang yang dapat berinteraksi dengan bangsa jin ini (kita namakan Ustaz Abdullah) meminta bantuan mereka: Mustafa (nama jin), kamu tolong pergi cari daun sekian-sekian aku nak buat ubat kepada pesakit ini.” Lalu si jin pun pergi mencari daun yang dimaksudkan di tengah-tengah hutan pada malam hari dengan kadar segera.

Cuba banding dengan situasi ini. Kita telefon adik kita yang berada di belakang rumah, “Ariff, tolong ambil daun sekian-sekian di tepi telaga, abang nak buat ubat bagi Pak Kamal ni.”

Apakah dengan meminta bantuan sebegitu dikira syirik? Padahal beza Mustafa dengan Ariff hanyalah Mustafa tidak boleh dilihat (tapi kadang-kadang ia boleh juga dilihat oleh Ustaz Abdullah ataupun orang lain) manakala Ariff boleh dilihat (walaupun ketika bertelefon itu Ariff juga tidak kita lihat).

Apakah kerana jin sukar untuk dilihat dan dikira ‘ghaib’ maka meminta bantuan kepadanya terus dihukum syirik? Padahal Allah mencipta bangsa jin dengan kelebihan-kelebihan tertentu. Jika kita tidak yakin kelebihan-kelebihan ini seperti ada sebahagian jin yang mampu menyamar ataupun bergerak pantas, maksudnya kita telah menafikan satu perkara daripada perkara-perkara ghaib yang Allah ciptakan. Apa pula hukumnya?

Pada saya, hukum syirik ini jatuh apabila kita beriktikad bahawa yang berkuasa itu ialah si jin dan bukannya Allah. Seorang suami berkata kepada isterinya, “Leha, tolong goreng ikan.” Situasi harian begini juga boleh jatuh syirik sekiranya si suami beriktikad bahawa yang berkuasa menggoreng ikan dan menjadikan ikan itu bergoreng ialah isterinya dan bukan Allah.

Begitu juga apabila kita berasa sakit kepala lalu kita telan aspirin. Jika kita yakin bahawa aspirin itu yang menghilangkan sakit kepala kita dan bukannya Allah, hal itu syirik kerana kita sudah menghukum ada ‘dua kuasa’ yang menjadikan Allah tidak Esa.

Ada pihak menggunakan dalil-dalil tertentu untuk mengharamkan terus hubungan sesama hamba Allah iaitu jin dan manusia. Masalahnya, apa bukti yang mengatakan dalil-dalil itu mengharamkan 100% hubungan tersebut dan ia bukannya dalil-dalil yang umum?

Kadang kala ada jin-jin yang datang dan menuntut ilmu agama kepada para ulama bangsa manusia. Apakah ini juga syirik?


JIKA SAYA?

Seandainya ada jin-jin yang berminat untuk bersahabat dengan saya sebagaimana dalam kes tuan, saya juga lebih cenderung untuk menolaknya, sama seperti tuan.


Di petik daripada: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=3466.0

1 comment

Pak Oncu said...

kalau den nak den berkawan dgn jin ni,,, sonang den dgn izin Allah,,,,,

Powered by Blogger.