Rumah dan Pejabat Politik di Internet
FACEBOOK STATUS:
Hasrizal Abdul Jamil feels that all those public figures including politicians who never update their blogs neither their facebook should stay offline. You are fooling the people, including yourselves
Ya, kasar bunyinya. Tetapi saya memang memaksudkannya.
Apa rasa anda, kalau melihat rumah-rumah yang terbengkalai, dinaiki lalang, penuh semak dan sesekali keluar haiwan-haiwan daripadanya, ala-ala zoo di Kemensah sana?
Serabut.
Begitu juga dengan blog yang tidak dikemas kini. Membuka blog tanpa komitmen untuk mengemas kinikannya adalah seperti orang yang tidak cukup modal, tetapi mahu membina rumah sendiri. Ditebang pokok, ditebas semak, dicucuk konkrit disimen bumi. Akhirnya semua itu dihiasi kembali dengan pokok yang pernah ditebang dan semak yang pernah ditebas.
Sungguh merimaskan.
Jika blog itu milik seseorang yang tidak dikenali, tidak mengapa. Tetapi jika ia milik seorang tokoh, maintainance medium itu mempunyai kesan yang langsung kepada kredibiliti tokoh berkenaan. Sama ada akaun Blogspot atau Facebook itu dibukanya sendiri, atau oleh pembantu, atau sesiapa yang menyamar sebagai ‘dia’, akaun itu bertindak mewakili identiti tokoh berkenaan di dalam talian.
Semua orang tahu, cara termudah dan terbaik untuk bertemu dengan seorang YB ialah di pejabatnya. Tetapi kalau beliau ada akaun Facebook, ia sudah jadi bonus. Tentu sahaja seorang YB tidak membuka akaun Facebook hanya untuk bermain kuiz “sejauh manakah Kuala Lumpurnya anda” atau berbalas-balas bunga dan hadiah kepada teman.
YB berada di Facebook, konotasinya adalah kemudahan berhubung, atau sekurang-kurangnya membuka ruang untuk aktivitinya diikuti dan diketahui oleh rakyat.
Maka dengan sekadar mempunyai blog tetapi ia tidak dikemaskini, atau mempunyai akaun Facebook tetapi kosong dan tidak punya sebarang isi, elok padamkan sahaja. Malah bagi pembantu-pembantu yang berhajat untuk mengenengahkan tokoh berkenaan ke talian, jangan berbuat demikian kecuali sudah pasti komitmen anda untuk mengemaskinikannya dari semasa ke semasa.
Orang tidak kisah jika ahli politik tidak mempunyai blog dan Facebook.
Tetapi orang kisah jika ada blog dan Facebook, namun sekadar rumah kosong tempat jin bertandang.
Sebab itu saya katakan, jangan lontarkan expectation kepada orang ramai tanpa kesungguhan untuk menunaikannya. Ia kemudiannya nanti akan memperbodohkan diri tokoh itu sendiri dengan sangkaannya bahawa jumlah friends di dalam Facebook adalah jumlah penyokong dan pengundinya.
Daripada mereka itu boleh terus mengekalkan impression yang baik tentang anda kerana tidak mempunyai contact secara langsung dengan anda, tiba-tiba anda sendiri yang menjatuhkan kredibiliti dengan membina rumah-rumah yang terbengkalai di sana sini, semasa orang agresif mencari maklumat politik semasa.
Blog dan Facebook boleh jadi bahan hiburan dan permainan. Ia juga boleh menjadi medium interaksi yang lebih agresif dan berkesan berbanding surat khabar dan televisyen. Ia boleh jadi alat paling berkesan untuk berperanan, ia juga boleh menjadi senjata yang makan tuan.
YB Khalid Samad (PAS) adalah di antara yang produktif di blog dan Facebook. Begitu juga dengan YB Nik Nazmi (PKR), juga Dato’ Mohd Sahfri (BN)
Kegagalan menguruskan maklumat, adalah ketempangan jihad di gelanggang semasa ini.
PAS juga tidak terkecuali.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
No comments
Post a Comment