Dewan Bandaraya Shah Alam Akan Anjur Sesi Penerangan Isu Kuil Seksyen 23

SHAH ALAM, 19 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor menerusi Dewan Bandaraya Shah Alam akan mengadakan sesi penerangan kepada semua pihak, berhubung isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semua pihak termasuk penduduk Seksyen 19, Seksyen 23 dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri akan dijemput menghadiri sesi berkenaan.

“Kalau masih lagi masyarakat Shah Alam masih belum faham tentang perkara ini, kita boleh mengadakan ‘town hall meeting’ di mana masyarakat Seksyen 19 di jemput, pihak kuil di jemput dan masyarakat Seksyen 23 pun dijemput dan juga Pengarah Perancangan Negeri pun dijemput supaya dapat menjelaskan keadaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Tan Sri Khalid berkata, masalah kuil ini telah timbul sejak pemerintahan Barisan Nasional dan kini kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat cuba menyelesaikannya dengan cara yang baik.

“Sudah tentu kita akan dapat menerangkan dengan jelas usaha yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan rakyat dalam menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 ini mendapat bantahan penduduk Seksyen 23 dan mereka telah mengadakan demontrasi bantahan serta meminta penjelasan daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Tan Sri Khalid tidak menghalang tindakan Badan Perhubungan Umno Selangor untuk mendapatkan perintah injuksi daripada mahkamah berhubung pembinaan kuil hindu itu mengikut perancangan awal.

“Kita tidak menghalang mereka tentang perkara tersebut. Ini usaha untuk menyelesaikan masalah kuil di Shah Alam dan ini adalah untuk yang berterusan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Perintah injuksi mahkamah itu diusulkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar semalam ketika menerima penyerahan memorandum daripada penduduk Seksyen 23 itu.

Katanya, perintah mahkamah akan diambil sekiranya pembinaan kuil hindu itu diteruskan di kawasan tersebut.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.