Menteri Besar Ucap Takziah Kepada Keluarga Gary Leon Robert

CHERAS PERDANA, 19 Ogos - Suasana sepi menyelubungi kediaman serta kaum keluarga mendiang Gary Leon Robert, peserta Larian Shah Alam, pada ulang tahun kelahirannya yang ke- 22 semalam.

Gary yang menyertai larian Adidas King Of The Road 2009 pada 2 Ogos lalu, ditemui mati berhampiran Stadium Shah Alam, sehari selepas acara berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam menziarahi keluarga Gary dan menghabiskan masa kira-kira sejam bersama mereka sambil mengucapkan takziah.

Menurut bapa saudaranya, Alex Ng, Gary merupakan penuntut tahun akhir kursus kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Katanya, Gary tidak mempunyai masalah kesihatan. Dia juga cepat mesra dan mempunyai ramai kenalan.

Pada malam sebelum acara larian itu bermula, Gary makan malam bersama keluarganya dan pulang ke kolejnya di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi.

Gary yang bersaing dalam kategori separa maraton dikatakan pengsan pada garisan penamat dan diberikan rawatan oleh pasukan paramedik.

Bagaimanapun, Gary kemudian dilaporkan hilang dan tidak kembali ke rumahnya di Cheras Perdana, Cheras.

Mayatnya ditemui pada pukul 1.05 petang 3 Ogos lalu di terowong stadium yang menjadi laluan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), selepas gerakan mencarinya dijalankan oleh pihak polis.

Ketika ditemui terdapat kesan luka di dagu dan bahagian atas bibirnya, dipercayai akibat terjatuh.

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Gary mendapati kematiannya berpunca daripada kehilangan terlalu banyak air dalam badan.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, selepas menerima aduan, polis meminta bantuan MBSA untuk melancarkan gerakan mencari Gary di beberapa kawasan larian, termasuk di stadium tetapi gagal.

No comments

Powered by Blogger.