Abdul Aziz Yusof Calon BN Bagi P/Raya Kecil DUN Galas

GUA MUSANG, 24 Okt (Bernama) -- Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas pada 4 Nov ini.

Ketika membuat pengumuman itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Abdul Aziz merupakan calon yang masih muda dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

"Oleh kerana beliau (Abdul Aziz) akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas jadi beliau telah melepaskan jawatannya itu. Beliau merupakan orang tempatan, orang Gua Musang dan umurnya masih muda," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon BN di Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati, pada hari Ahad.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS, akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

PAS telah mengumumkan pengamal perubatan yang juga Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon parti untuk bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Dalam sidang medianya selepas itu, Muhyiddin berharap pemilihan Abdul Aziz sebagai calon akan diterima oleh pengundi di kawasan DUN Galas untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin mereka.

Beliau berkata pemilihan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas berunding dengan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Latar belakangnya dan kelayakannya amat sesuai bagi membolehkan beliau dipilih menjadi calon dan kita yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab besar ini," katanya.

Muhyiddin berkata walaupun latar belakang pendidikan Abdul Aziz jauh lebih rendah berbanding calon PAS, namun pucuk pimpinan parti yakin ia bukan satu isu yang besar.

"Saya tak fikir satu kesalahan... dari segi keupayaan dan kebolehan serta bakti yang dicurahkannya selama ini, beliau layak mewakili parti apatah lagi disokong dengan faktor BN sendiri yang mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk melakukan pembangunan.

Kita yakin Aziz yang mewakili parti berupaya untuk membawa perubahan yang besar. Bukannya kita nak bongkak atau sombong tetapi memang BN lebih berupaya untuk bawa perubahan," katanya.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan contohnya, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM7 bilion bagi tujuan pembangunan di Kelantan termasuk membina sekolah serta hospital.

Hari ini pula, kerajaan persekutuan melancarkan projek pembinaan 1,500 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang melibatkan kos RM180 juta, katanya.

Ditanya sama ada akan berlaku sabotaj terhadap calon, Muhyiddin memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku kerana Abdul Aziz mendapat sokongan semua pihak di peringkat akar umbi.

Katanya anggota parti menyedari kepentingan parti itu sendiri jauh lebih penting daripada kepentingan individu.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN gagal menunaikan janji dan menjadikannya sebagai antara modal dalam kempen pilihan raya kecil ini, Muyiddin berkata ia tidak benar kerana semua projek yang dijanjikan dalam proses pelaksanaan.

insya allah, kemenagan akan berpihak kepada calon pakatana rakyat dari PAS! Takbir!

No comments

Powered by Blogger.