Bajet: Kerajaan 'prihatin' menjelang pilihan raya

Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 18 Okt: Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu membuktikan kerajaan hanya 'prihatin' terhadap rakyat apabila menjelang pilihan raya sahaja.

Beliau berkata demikian kepada media semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan keperluan haji kepada 105 bakal jemaah haji dalam Parlimen Permatang Pauh di perkarangan pejabat PKR Kubang Semang, semalam.

Menurut beliau lagi, apa yang menimbulkan kesangsian kepada masyarakat ialah peruntukan kepada projek Permata diterajui oleh isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor mendapat prioriti yang lebih sebanyak RM111 juta jika dibandingkan dengan peruntukan sebanyak RM95 juta sahaja kepada sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah.

Wan Azizah juga melahirkan kekecewaan apabila peruntukan yang diberi tidak langsung mengambil kira kepentingan masyarakat negeri Kelantan.

"Ini membuktikan kepimpinan Kerajaan BN hanya mengutamakan sokongan kepada mereka sahaja. Jika rakyat yang tidak menyokong mereka seperti di negeri Kelantan, maka sudah pasti akan menjadi mangsa kepada ketidakadilan yang mereka laksanakan," ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pilihan raya kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi, beliau berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai masalah walaupun kedua-duanya diadakan serentak.

Bagi PR, katanya kekuatan yang ada dalam komponen parti akan digandingkan bagi menentang segala penyalahgunaan kuasa dan skandal dalam BN.

Beliau yakin kekuatan yang ada dalam PR menggerunkan mereka sehingga sanggup bersekongkol dengan agensi kerajaan semata-mata bagi memastikan kekuasaan dan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Oleh itu, mereka lakukan sepertimana yang mereka laksanakan di Galas dan Batu Sapi dengan hasrat untuk mengekang kemaraan kita.

“Namun begitu saya yakin kesepaduan yang ada pada PR akan mampu untuk menerobos segala halangan yang mereka cipta bagi menyekat kemaraan kita untuk mencapai kemenangan di sana," tegasnya lagi.

No comments

Powered by Blogger.