Bangga dengan Presiden Cuepacs

Mohd Zaidi Idris

Saya merasa terpanggil untuk mengulas berkaitan dengan surat saudara Mohd Adlan Mohd Shariffuddin berkaitan dengan tajuk malu presiden Cuepacs tidak bersyukur.

Bagi saya sebagai Presiden Cuepacs beliau hanya memperjuangkan hak-hak ahli iaitu seluruh penjawat awam bagi memohon kepada kerajaan untuk memberi sedikit imbuhan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh penjawat awam.

Bagi saya tidak salah apa yang diperjuangkan oleh Omar Osman sebagai presiden. Apa yang beliau tuntut bukan untuk kepentingan peribadi tapi bagi penjawat awam keseluruhannya.

Dari apa yang saya baca saudara Mohd Adlan ini mungkin seorang pegawai tinggi kerajaan jadi beliau telah mendapat gaji yang selesa dan kehidupan pun senang tapi apakah beliau fikirkan orang yang bergaji kecil dan mempunyai bilangan ahli keluarga yang besar, mereka ini hanya menunggu imbuhan setiap hujung tahun untuk digunakan bagi membeli peralatan persekolahan anak-anak dan membayar yuran.

Saya merasa kesal di atas apa yang beliau utarakan di mana beliau malu dengan tindakan Presiden Cuepacs itu.Saudara mungkin tidak merasa tertekan dengan kenaikan harga barang dan persekolahan anak-anak kerana saudara hidup senang lenang tapi fikirkanlah bagi mereka yang bergaji kecil.

Bagi saya mereka yang terjejas akibat tuntutan perjalanan, peruntukan untuk aktivit dan lain-lain adalah mereka yang berjawatan tinggi dan sentiasa membuat tuntutan setiap bulan.

Tapi apa nasib kami yang berjawatan rendah ini pernahkah saudara fikirkan. saya merasa bangga mempunyai seorang presiden yang berani memperjuangkan hak-hak pekerja seperti saudara Omar Osman.

Jangan kerana nyamuk kelambu dibakar dan jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saudara tanyalah setiap penjawat awan yang berjawatan rendah apakah mereka suka dengan kenyataan saudara itu?

Omar Osman tidak memperjuangkan sesuatu untuk diri beliau tapi untuk penjawat awam keseluruhannya. Kalau saudara seorang berasa malu dengan tindakan Presiden Cuepacs kami yang berada di bawah ini merasa bangga dengan orang yang bernama Presiden Cuepacs kerana keberanian beliau.

No comments

Powered by Blogger.