Bekalan Kelapa Di Pulau Pinang Pulih Minggu Depan : FAMA

BUTTERWORTH, 5 Okt (Bernama) -- Bekalan kelapa dan santan yang tidak mencukupi di wilayah utara terutama Pulau Pinang sejak hari raya Aidilfitri lepas sehingga menyebabkan harganya melambung, dijangka pulih minggu depan.

Pengarah FAMA Wilayah Utara Ariffin Awang berkata ini berikutan jaminan yang diberikan oleh pengeluar kelapa di Thailand dan Indonesia yang akan mengeksport 100,000 biji kelapa ke sini dalam masa seminggu ini.

"FAMA pula akan bertindak segera dengan mengedarkannya kepada peniaga-peniaga di negeri ini," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya FAMA di sini pada Selasa.

Ariffin berkata kekurangan kelapa berlaku di wilayah utara disebabkan kekurangan bekalan dari Indonesia yang juga menghadapi masalah serupa.

Sejak seminggu lepas, beberapa peniaga santan di Pulau Pinang terpaksa menutup perniagaan mereka buat sementara kerana kekurangan bekalan kelapa yang bermula sejak awal Ramadan dan semakin meruncing selepas Aidilfitri.

Pemborong kelapa di negeri itu mendakwa mereka berdepan kesukaran mendapatkan bekalan daripada pengedar di Indonesia dan Thailand.

"Menjelang Aidilfitri lepas pun kita telah menempah 50,000 biji seminggu dari Indonesia kerana permintaan yang tinggi dan bekalan di dalam negara tidak mencukupi.

"Bagaimanapun selepas seminggu kita beraya, pengeluar kelapa di Indonesia juga tidak dapat menghantar bekalan kepada kita," katanya.

Ariffin berkata FAMA mengambil langkah segera dengan menghubungi beberapa pengeluar kelapa di Thailand yang akan mengeksport sebanyak 17,000 biji kelapa setiap minggu.

No comments

Powered by Blogger.