Benarkah Zaid dipinggirkan dalam PKR?

Gobalakrishnan PETALING JAYA: Kenyataan Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye semalam yang mengkritik Ketua PKR Wilayah Persekutuan dan juga calon Timbalan Presiden Dato’ Zaid Ibrahim disiarkan oleh media arus perdana hari ini.

Menurut N Gobalakrishnan dalam satu kenyataan media, "malahan The New Straits Times menggunakan isu ini sebagai tajuk utama muka depan hari ini, dalam usaha untuk memperkecilkan hasrat kita mara ke Putrajaya."

"Apakah sebabnya Dr Lee mengeluarkan kenyataan sedemikian? Adakah beliau ingin menonjolkan dirinya sebagai hero PKR dengan kenyataan itu atau beliau diarah oleh seseorang untuk terus menyerang Zaid?," soal Ahli Parlimen Padang Serai itu.

Beliau berkata, "ini bukan kali pertama kenyataan ‘anti-Zaid’ dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin parti. Malahan pengarah komunikasi parti, Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyerang Zaid, merendahkan kedudukan beliau (Nik Nazmi) sendiri yang sepatutnya bersikap neutral.

"Dan kemudian kita dapati Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali menyertai serangan ini. Selepas itu, Naib Presiden R Sivarasa, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategik Tian Chua juga terus melancarkan serangan terhadap Zaid," katanya.

"Yang peliknya, kesemua pemimpin ini bercakap dengan media tentang hal ini. Kenapa Dr Lee menyerang Zaid kerana bersedia dirinya diwawancara oleh media?," soal beliau lagi.

Sentimen ‘anti-Zaid’

Ahli Parlimen PKR itu berkata, "kini agak jelas, Zaid sedang dipinggirkan dalam parti. Insiden-insiden yang berlaku ketika pemilihan Cabang di seluruh negara dalam tempuh dua minggu yang lalu menunjukkan sentimen ‘anti-Zaid’ didalangi oleh seseorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam parti.

"Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini? Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang datangnya daripada para pemimpin kita sendiri bahawa mereka ini berada dalam satu kumpulan – kumpulan yang mahu (Naib Presiden) Azmin Ali menewaskan Zaid untuk jawatan timbalan presiden," terang beliau.

Beliau bertanya, "adakah saya salah membuat andaian sebegini? Dilihat apa yang berlaku dalam parti, saya tidak berfikir begitu. Kini saya mula yakin dengan cerita mengenai komplot Azmin sekarang ini.

"Ia merupakan satu hari yang malang buat parti jika kita harus melupakan matlamat dan prinsip perjuangan, hanya semata-mata untuk memberi laluan mudah kepada Azmin untuk sampai ke jawatan yang tinggi itu.

"Saya berharap saya tidak melihat hari itu. Biar PKR kekal bebas dan merdeka," ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.